60 Anggota Kor SUKSIS UKM Ditauliah
Oleh Nur Batrisyia
Foto Shahiddan Saidi
BANGI,16 April 2021 – Seramai 60 orang anggota Kor Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menamatkan latihan dan berjaya mendapat sijil pentauliahan pada Majlis Pentauliahan dan Tamat Latihan SUKSIS UKM, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad berkata program Kor SUKSIS ini merupakan satu usaha kerajaan untuk mendekati graduan dan remaja melalui aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan membina serta mampu mengimbangi pembentukan minda.
“Saya menyeru kepada anda semua (pelatih SUKSIS) agar bijak menggunakan ilmu pengetahuan yang telah diperolehi dan dijadikan sebagai pedoman dengan pegangan agama yang kukuh, disiplin diri yang kental dan sentiasa meletakkan kepentingan kepada agama, bangsa dan negara di hadapan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Beliau berkata walaupun selepas ini tidak semua anggota Kor SUKSIS menjadi pegawai polis, beliau tetap mahukan semua anggota SUKSIS menjadikan disiplin diri sebagai nilai tambah kepada diri mereka.
“Disiplin ialah sesuatu yang kita lakukan setiap hari sehingga menjadi budaya. Sikap disiplin ini adalah penting kepada anda dalam menempuh alam pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.
Dalam ucapannya, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab yakin bahawa mahasiswa yang bergiat dalam SUKSIS telah dilatih secara fizikal dan mental untuk menghadapi segala cabaran khususnya persekitaran yang makin mencabar pada masa yang akan datang.
Pada majlis tersebut Mohd Izzuddin Adanan telah dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan, Muhammad Izzat Syafiq Zamziba merangkul anugerah Pelatih Terbaik Akademik manakala Fatin Syazwani pula diangkat sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar.
Majlis pentauliahan itu turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Dato’ Zainal Abidin Kasim; Ketua Polis Selangor, Dato’ Arjunaidi Mohamed; Komandan Kor SISPA, UKM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Selangor, Dato’ Kumaran Karuppannan.