60 Pelajar UKM Terima Bantuan Kewangan daripada Edotco Malaysia


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 5 Disember 2019 – 60 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari keluarga B40 telah menerima bantuan kewangan RM200 setiap seorang daripada Edotco Malaysia Sdn Bhd melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat tersebut.

UKM adalah Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) pertama di Malaysia yang menerima bantuan kewangan daripada syarikat itu.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Ir Dr Othman A. Karim berkata, usaha yang dilakukan oleh Edotco Malaysia ini akan dapat membantu pelajar yang terpilih menjalani kehidupan kampus dengan lebih baik.

“Bagi pihak UKM, kami amat berterima kasih atas sokongan Edotco Malaysia Sdn Bhd kepada 60 pelajar kami untuk semester ini. Kami percaya ini akan memotivasikan dan memberi manfaat kepada golongan pelajar B40.

“Kepada para pelajar, manfaatkan sebaiknya bantuan ini dan tingkatkan kecemerlangan anda supaya pengajian di sini (UKM) dapat berjalan dengan lancar,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Bantuan dan Ramah Mesra Edotco bersama Pelajar UKM di Bilik Bankuasi, Bangunan Pentadbiran, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Kawasan Tengah Edotco Sdn Bhd, Daniel Mohamed Said berkata, program CSR yang dilakukan oleh syarikat itu bukan sesuatu yang baharu, malah selalu diadakan, tetapi di UKM itu adalah pertama kali.

“Program ini dibuat bagi berkongsi rezeki dengan pelajar-pelajar UKM yang kurang berkemampuan. Walaupun jumlahnya kecil, kami berharap bantuan ini dapat membantu dan meringankan beban anda (pelajar) dalam menjalani kehidupan di kampus ini,” katanya.

Edotco Malaysia adalah anak syarikat penuh Edotco Group dengan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan infrastruktur komunikasi kepada para pelanggan dan dalam usaha untuk menjadi pusat sehenti bagi tapak telekomunikasi dan perkhidmatan jalur lebar di Malaysia.