64 Calon Dalam Pemilihan Wakil Pelajar UKM

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 16 Sept 2015 – Seramai 64 calon bertanding untuk 10 Kerusi Umum dan 21 Kerusi Fakulti bagi Pemilihan Calon Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2015/2016 pada 15 September.

Daripada jumlah itu, 22 calon akan bertanding untuk merebut 10 Kerusi Umum manakala 42 calon akan bertanding untuk 21 Kerusi Fakulti.

Calon bagi satu kerusi F3.17 untuk Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina telah menang tanpa bertanding.

Calon-calon yang bertanding memulakan sesi berkempen selepas jam 12.30 tengah hari Khamis iaitu selepas sesi penamaan calon dan akan berakhir 14 September 2015 pada jam 12.00 tengah malam.

Sesi penamaan calon yang dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi berjalan lancar tanpa sebarang masalah manakala semua wakil kumpulan untuk Kerusi Umum tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Dalam sesi taklimat yang berlangsung selepas penamaan calon, semua calon telah diingatkan supaya menjaga ketertiban semasa berkempen dan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

Calon-calon juga hanya boleh mengemukakan manifesto berkenaan dengan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Universiti, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) dan kebajikan pelajar.

Pihak keselamatan turut mengingatkan kepada semua calon supaya tidak menggunakan pembesar suara semasa berkempen, perlu memastikan penyokong-penyokong tidak membuat kecoh dan memberi kerjasama yang baik dengan pihak keselamatan sepanjang proses kempen diadakan.

Semua pelajar akan membuang undi pada Selasa depan bagi memilih wakil pelajar yang layak untuk menjadi penghubung kepada pengurusan universiti.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat meluangkan masa meninjau penamaan calon di Pusaneka dan beramah mesra dengan calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan tersebut. ukmnewsportal-bm

3

2

5

1