74 Calon Bertanding dalam Pilihan Raya Kampus UKM 2023


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 2 Februari 2023 – Seramai 74 calon bertanding dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2023, dengan 35 calon adalah bagi kerusi Umum dan 39 calon bagi kerusi Fakulti.

PRK UKM 2023 bermula dengan hari penamaan calon yang diadakan pada 25 Februari 2023 dan diteruskan dengan sesi kempen yang tamat secara rasmi pada jam 12.00 pagi 31 Januari 2023.

Calon-calon yang bertanding itu akan mengisi 41 kerusi iaitu 12 kerusi Umum dan 29 kerusi Fakulti.

Sepanjang proses ini berlangsung, semua calon dan penyokong telah menonjolkan kesungguhan dalam membawa idea dan mengetengahkan kreativiti serta semangat seperti mengadakan ceramah, mengedarkan risalah dan menggantung bendera di sekitar kampus.

Pengumuman pemenang PRK UKM disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh, pada jam 6.30 petang.

Dalam ucapannya, beliau berkata hasrat universiti adalah untuk memastikan proses pemilihan berjalan lancar dan pihak universiti memberi sepenuhnya kepada pelajar untuk menguruskan pemilihan tersebut.

“Hasrat kita di universiti melalui pengurusan UKM adalah untuk memastikan proses pemilihan ini dapat berjalan dengan lancar dan dapat memberikan tanggungjawab ini kepada pelajar untuk menguruskan proses pemilihan dan memastikan kelancaran, dan alhamdulillah saya rasa proses pemilihan ini telah berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon atas keberanian, semangat dan kesanggupan untuk mencuba sesuatu yang baru.

“Bagi saya proses ini adalah satu proses demokrasi iaitu mahasiswa khususnya kepimpinan mahasiswa dapat pergi ke one step further dalam konteks mencabar diri untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar.

“Tahniah sekali lagi kepada calon-calon yang bakal memenangi kerusi di Parlimen Mahasiswa. Jalankan tanggungjawab anda sebaik mungkin kepada universiti.

“Kepada calon yang tidak berjaya, jangan berputus asa kerana masih ada banyak lagi saluran lain di UKM yang membolehkan anda untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Hari pembuangan undi yang diadakan semalam telah dilaksanakan secara dalam talian melalui sistem siswavote bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.