7,500 Pelajar UKM Pulang Ke Rumah Secara Berperingkat Sempena Cuti Hari Raya Aidilfitri
Oleh Mohamad Salleh Sulieman
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 7 Mei 2021- Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri semakin dirasakan apabila 7,500 pelajar UKM akan pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat bermula malam ini.
Kepulangan itu dibuat secara tiga fasa iaitu pada 7, 8 dan 9 Mei serta melibatkan tiga buah kampus UKM iaitu Kampus Induk Bangi dan Kampus Cawangan Kuala Lumpur dan Cheras.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Hj. Toriman berkata, Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) telah mengadakan bancian sejak 29 April hingga 2 Mei secara dalam talian bagi memudahkan proses pergerakan pelajar mengikut zon.
“Sekitar 6,412 orang pelajar bakal pulang menggunakan kenderaan sendiri, kapal terbang atau diambil oleh ibu bapa masing-masing, manakala kira-kira 1,100 pelajar pula bakal menggunakan perkhidmatan bas UKM,” katanya.
Tambah beliau lagi, sebanyak 19 buah bas disediakan oleh UKM pada malam ini dengan melibatkan kira-kira 713 orang pelajar. Pada 8 Mei sebanyak 13 buah bas disediakan yang akan melibatkan 357 orang pelajar dan 32 orang pelajar pula akan pulang pada 9 Mei.
“Sebanyak 5 buah bas ke Johor, 3 buah bas ke Pahang, 4 buah bas ke Terengganu, masing-masing 3 buah bas ke Kelantan dan Kedah dan sebuah bas ke Perlis,” katanya.
Pergerakan pelajar ke kampung halaman ini melibatkan semua negeri kecuali Sarawak.
“UKM turut memastikan pergerakan pulang pelajar mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” tambah beliau lagi.
Proses penghantaran pulang pelajar ini melibatkan pengurusan tertinggi UKM dan turut dibantu oleh Kesatuan Mahasiswa UKM, Sukarelawan Siswa dan Kasiswa serta Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Kediaman.
Penghantaran pulang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Noraini Ahmad, Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi yang bertempat di DECTAR, UKM Bangi.