83 Peratus Pelajar Keluar Mengundi bagi Memilih Wakil Pelajar
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 20 Sept 2017 – Kira-kira 83 peratus pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) keluar mengundi bagi memilih wakil pelajar bagi sesi akademik 2017-2018.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal berkata proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Kira-kira pukul 12 tengah hari, kita dapati kira-kira 80 peratus pelajar telah mengundi. Walau bagaimanapun, pada sebelah pagi, kita telah menerima laporan berkenaan dengan surat palsu yang dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang memaklumkan bahawa pengundian dibatalkan.
“Jadi, kita mengambil langkah segera dengan memaklumkan kepada pelajar bahawa pengundian akan berjalan seperti biasa,” katanya selepas mengumumkan keputusan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2017-2018 di sini.
Beliau berkata tempoh berkempen telah berjalan dengan baik dan pihak fakulti dan kolej kediaman telah memberi ruang kepada calon untuk berkempen.
“Saya berharap agar pelajar-pelajar ini akan meneruskan kesinambungan kepimpinan yang lalu dan dapat memberi kerjasama yang baik dengan pihak pengurusan universiti dalam menjaga kebajikan pelajar secara keseluruhannya,” katanya.
Semntara itu, Adib Ashman Burhan Burhanudin yang memenangi Kerusi Umum U3.35 berkata kebajikan mahasiswa adalah salah satu agenda dan mereka akan menekankan setiap apa yang diminta oleh mahasiswa sama ada dari segi kebajikan, keselamatan, keamanan dan juga kesejahteraan.
“Kita berpegang kepada satu prinsip iaitu kita datang daripada mahasiswa dan apa yang kita kembalikan haruskan kepasda mahasiswa.
“Teruskan beri kepercayaan kepada kami. Tiga tahun sudah kita telah memegang kepimpinan ini dan kita mahu mahasiswa menilai kita dengan cara yang baik dan kita juga akan memberi yang terbaik kepada mahasiswa,” jelasnya.