Adik-Beradik Kembar Jadi Tarikan Di Larian MY10K@UKM Go Green Run
Oleh Engku Shariful Azni
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 20 Mei 2016 – Dua adik-beradik kembar yang menyertai larian dalam taman yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menggalakkan amalan mesra alam dan gaya hidup sihat, menjadi perhatian penonton dan peserta, apabila menunjukkan prestasi yang baik.
Kembar berusia dua belas tahun Aimi Nadhirah dan Aimi Nadilah masing-masing memenangi tempat ketiga dan keempat dengan catatan masa kira-kira 26 minit dalam 5 km Kategori Terbuka dalam larian yang dinamakan MY10K @ UKM Go Green Run 2016 di sini baru-baru ini.
Apabila ditanya mengenai pencapaian itu, mereka mengakui larian tersebut agak mencabar kerana laluannya berbukit-bukau.
Bapa mereka, Idris Ahmad, yang turut mengambil bahagian berkata anak perempuannya membuat persedian awal untuk menyertai perlumbaan tersebut.
“Setiap pagi dan petang, mereka berjoging di sekitar kawasan perumahan selama 5 kilometer sejam setiap hari,” jelas beliau mengenai rutin senaman harian mereka.
Ibu mereka, Nurul Haiza Hazim, pula berkata mereka berjaya kerana ketekalan latihan dan sentiasa memperbaiki catatan masa.
Nurul Haiza berpendapat senaman seperti ini sesuai untuk remaja bagi mengelakkan mereka dari terjebak dalam kegiatan kurang sihat.
Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali menyertai kira-kira 1,000 orang yang mengambil bahagian dalam larian ini yang juga bertujuan mempamerkan kehijauan dan keindahan alam di UKM.
Perlumbaan dilepaskan oleh Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Timbalan Naib Canselor (Pelajar dan Alumni).