Affin Islamic Bank Berhad Sumbang RM10,000 kepada HCTM
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
CHERAS, 23 November 2021 – Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) memberi sumbangan peralatan perubatan bernilai RM10,000 kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang berupa ‘standard wheelchair’, ‘reclining wheelchair’, ‘walking aid’ dan ‘shoulder crutches’.
Menurut Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Affin Islamic, Musa Abdul Malek, sumbangan itu disalurkan melalui keuntungan pendeposit akaun simpanan kebajikan ‘Simpan dan Derma’, Affin Barakah Charity Account-i.
“Melalui akaun ini, pendeposit boleh membuat simpanan dan pada masa yang sama berpeluang menderma kepada kebajikan.
“Akaun ini mempunyai unsur sedemikian (‘simpan & derma’) kerana ia membolehkan pendeposit membuat simpanan dan pada masa yang sama berpeluang menderma untuk tujuan kebajikan,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf Peralatan Perubatan oleh Affin Islamic kepada HCTM di sini, semalam.
Beliau berkata sumbangan yang diberikan itu adalah salah satu usaha untuk membantu kerajaan dan golongan yang memerlukan dalam mengharungi wabak pandemik COVID-19.
“Setakat ini, 19 badan kebajikan menerima manfaat daripada sumbangan pendeposit Affin Barakah Charity Account-i dengan jumlah terkumpul sebanyak RM259,000.94,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Yayasan Canselor UKM,Prof Madya Ts Dr Faizal Mohamed berkata sumbangan itu bakal memberi manfaat kepada orang ramai khususnya yang mendapatkan rawatan di HCTM.
“Terima kasih kepada Affin Islamic di atas sumbangan yang diberikan. Kami melihat ini adalah satu usaha yang baik dan permulaan kepada kami untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Affin Bank,” katanya.
Bagi Yayasan Canselor UKM, katanya, mereka sedaya mungkin mempelbagaikan lagi produk wakaf bagi membantu masyarakat secara umumnya.
“Sumbangan yang kita saksikan pada hari ini adalah sumbangan wakaf. Seperti yang kita sedia maklum, manfaat wakaf adalah berkekalan dan dijanjikan oleh Allah SWT dengan ganjaran yang cukup besar,” katanya.