Ahli Akademik dan Industri Perlu Bersama Tingkat Ekonomi Negara


Oleh Amsahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 5 Oktober 2018 – Ahli akademik dan pihak industri perlu duduk bersama dan berbincang dalam memastikan keadaan ekonomi negara terus kukuh, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, akademia dan industri perlu melihat apakah kesan dan peluang yang ada dalam revolusi industri 4.0 (4IR) kerana ia boleh menjadi satu pertumbuhan ekonomi negara yang baharu dan lebih dinamik.

“Kalau kita kekal dalam keadaan yang lama, kita akan lebih ketinggalan. Setiap perubahan ini, setiap perubahan revolusi ini ada yang negatif dan ada yang postif.

“Revolusi adalah sesuatu perubahan yang drastik. Inilah satu cabaran yang kita perlu lihat dan kaji,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-13 2018, di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Beliau berharap, melalui persidangan tersebut segala input, pandangan, ulasan-ulasan dan isu-isu semasa akan membantu dalam membentuk dasar-dasar yang berkaitan.

“Kalau nak buat dasar, kita tidak boleh hanya duduk di pejabat sahaja. Kita kena keluar dan berbincang dengan pihak luar.

Sebab itulah input dari ahli-ahli akademik dan industri amat kita hargai kerana daripada pelbagai sumber inilah kita mendapat ilmu, pandangan, analisa yang bleh digemblengkan untuk membentuk satu dasar yang dapat memberi manfaat kepada negara secara keselurannya,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, Malaysia perlu bersedia dan mengatur langkah yang efektif untuk memastikan negara tidak ketinggalan dalam menghadapi perkembangan 4IR.

Bertemakan Menggarap Cabaran Revolusi 4.0 Menuju Negara Berpendapatan Tinggi adalah sangat tepat dalam kita menghadapi cabran ekonomi masa kini, katanya.

“Persidangan ini diharap memenuhi keperluan perkembangan ilmiah diperingkat pengajian tinggi dan juga memberi panduan kepada pihak-pihak tertentu dalam menentukan hala tuju pembangunan ekonomi negara oada masa hadapan,”jelas beliau.