Ahli Akademik Digesa Hasilkan Penulisan Lebih Dekat Dengan Masyarakat
Oleh Engku Shariful Azni
Pix Izwan Azman
BANGI, 26 Feb 2016 – Para akademik digesa menulis kajian dan dipersembahkan dalam bentuk yang lebih mudah difahami oleh masyarakat, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali
Ramai orang yang bukan daripada dunia kesarjanaan tidak dapat menerima ilmu yang terkumpul dan digarap dalam penulisan akademik, kata beliau dalam ucapan pada majlis Minum Petang bersama para penulis UKM di sini pada 24 Feb.
“Ahli akademik akan dihormati dan berwibawa apabila dia menjadi ‘public intellectual’,” beliau menegaskan.
Beliau berkata para akademik yang berwibawa harus meneliti perkara yang hendak diumumkan dahulu sebelum ia disampaikan kepada masyarakat.
Prof Noor Azlan turut menyuarakan rasa bimbang apabila terdapat segelintir penulis akademik yang merasakan bahawa penulisan akademik ini adalah tidak penting dan tiada nilai.
“Bidang penulisan dalam medan kesarjanaan adalah penting dan agung, namun dengan mengatakan bidang penulisan yang lain tiada nilai adalah salah,” tambah beliau lagi.
Beliau juga berpendapat bahawa para penulis perlu tampil ke hadapan bagi menyelesaikan salah faham dan konflik yang berlaku dalam kalangan masyarakat mengenai seseuatu isu dengan mengutarakan pendapat dan fakta yang benar dalam bentuk penulisan yang mudah difahami.
Acara tersebut diadakan bagi memberi penghargaan kepada para penulis UKM kerana menulis berdasarkan akautibiliti akademik yang ada pada mereka.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Dauk Noor Aziah Mohd Awal dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah.