Ahli Akademik Dituntut Hasilkan Penyelidikan Bernilai Pasaran – Canselor UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 27 November 2021 – Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menuntut agar ahli akademik menghasilkan penyelidikan yang bernilai pasaran.

“Sebagai sebuah universiti penyelidikan, Beta menyeru para penyelidik UKM agar berani meneroka dan menjadi pencipta inovasi-inovasi baharu yang setanding dengan penyelidik terkemuka dunia.

Penyelidikan yang dijalankan juga perlu disebar luas untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. UKM perlu menjadi sebuah institusi rujukan kepada pelbagai persoalan, dan kekal terkehadapan membahaskan pelbagai isu di pentas negara dan dunia,” titah baginda pada Istiadat Majlis Konvokesyen UKM ke-49, hari ini.

Baginda yakin dan berharap agar para intelektual di UKM, dapat menjadi pemain utama dalam memberi sumbangan bagi merungkai pelbagai persoalan yang timbul.

“Dalam menerajui kecemerlangan universiti ini, Beta amat berbangga dengan sumbangan kesarjanaan ahli akademik UKM yang sentiasa menjadi rujukan untuk menzahirkan keilmuannya dalam membentuk pemikiran dan merungkai pelbagai isu masyarakat.

“Tanggungjawab ahli akademik amat luas, dan ia mampu menjadi salah satu penyumbang kepada pembangunan negara. Justeru, Beta suka mengingatkan para ahli akademik UKM untuk terus melaksanakan tanggungjawab ini dalam bidang kepakaran masing-masing dan memberi sumbangan yang berpaksikan kesarjanaan tinggi,” titah baginda.

Tuanku Canselor bertitah, pandemik yang berlaku ketika ini membuka peluang kepada para ahli akademik UKM untuk menyesuaikan diri dalam penyampaian ilmu melalui platform digital.

“Kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian perlu menggunakan teknologi terkini, dan isi kandungan bahan mesti disediakan dengan lebih kreatif. Inilah realiti dan cabaran yang perlu ditempuhi, agar UKM terus kekal berdaya saing dalam dunia pendidikan di alam maya,” titah baginda.

Selain daripada itu, baginda bertitah, setiap warga UKM turut mempunyai amanah dalam memastikan universiti ini terus dirujuk sebagai universiti yang memperkasakan prinsip rukun negara dan jati diri kebangsaan.

“Aspirasi penubuhan UKM adalah unik dan istimewa. Sementara asas dan sejarah penubuhannya perlu terus disuburkan dengan menghayati perjuangan pemerkasaan bahasa kebangsaan, penghayatan nilai patriotik, dan membangunkan ilmu tinggi beracuankan kebangsaan,” titah baginda.

Majlis yang diadakan secara fizikal itu bakal menyaksikan seramai 7,709 graduan menerima ijazah masing-masing di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM.