Ajar Lebih Cekap Dan Kurangkan Kuliah, Akademik UKM Digesa

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto  Abd Ra’ai Osman dan Shahidan Saidi

BANGI, 18 Feb 2015 – Para akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilontar cabaran supaya lebih berinovatif untuk mengurangkan bilangan kuliah.

Selain penyelidikan, staf akademik perlu mencipta cara-cara baru untuk mengajar   dengan lebih cekap, kata Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

“Kemungkinan satu hari nanti UKM menjadi sebuah universiti yang kuliahnya kurang. Kalau kita mula buat begitu, kita adalah eksperimen. Kalau kita kurangkan kuliah, saya yakin sangat bahawa ahli akademik akan menyampaikan pengajaran dengan begitu hebat sekali,”katanya ketika merasmikan sidang  K-Novasi Pengajaran dan Pembelajaran UKM 2016 di sini hari ini.

Beliau mencadangkan pensyarah mengajar dengan cara yang pelajar boleh belajar daripada slaid kuliah di mana sahaja mereka berada.

Beliau berkata 2000 tenaga pengajar tidak seharusnya hanya menjadi ahli akademik, tetapi perlu membuat perubahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk menghasilkan lebih ramai graduan yang berdaya saing dan boleh dipasarkan.

Naib Canselor berharap semua staf akademik boleh mengambil cabaran ini yang akhirnya akan berbaloi.

Mwnurut beliau, UKM perlu menjadi unik dan bersifat keterhadapan serta memupuk pemikiran kritikal dalam meningkatkan kemahiran komunikasi dengan graduan.

Inovasi perlu digunakan dalam pengajaran walaupun penyelidikan adalah keutamaan, jelas beliau.

Kira-kira 180 ahli akademik, kebanyakannya dari UKM, mengambil bahagian dalam persidangan tiga hari tersebut yang berlangsung dari 16-18 Feb.ukmnewsportal-bm

02

03