Akademi Menara Gading Capai Hasrat 987 Pelajar Pahang Jejak Kaki Ke Menara Gading
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 18 Fenruari 2019 – Akademi Menara Gading (AMG) yang diilhamkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sejak 10 tahun lalu telah melahirkan seramai 987 pelajar cemerlang dari negeri Pahang mengikuti pengajian di Instutusi Pengajian Tinggi (IPT) di dalam dan luar negara.
Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa berkata, sejak program itu dilaksanakan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Pendidikan telah membuat penilaian dan kajian bagi memantapkan program yang sedia ada.
“Hasilnya, program ini telah berjaya menyediakan modul yang lebih sesuai dengan keperluan gaya pembelajaran pelajar yang kurang bernasib baik, khususnya pelajar luar bandar untuk bersaing dengan pelajar di bandar.
“Jadi, saya berharap dengan adanya program ini secara berterusan, ia akan dapat membantu meningkatkan bilangan pelajar negeri Pahang melanjutkan pengajian di universiti,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Akademi Menara Gading Kohort X Sesi 2018/2020: Kem 5 Inovasi Belajar dan Kepimpinan di Bilik Senat, Bangunan Pentadbiran di sini.
Beliau juga berharap, semua peserta dapat menggunakan peluang tersebut untuk meningkatkan lagi kecemerlangan diri dan berusaha mencapai kejayaan tertinggi dalam pelajaran.
AMG yang ditubuhkan sejak tahun 1999 bertujuan untuk membantu meningkatkan kualiti dan kecemerlangan pendidikan pelajar-pelajar miskin, anak yatim orang asli dari kawasan luar bandar di seluruh negeri Pahang melalui kecemerlangan pendidikan jangka panjang dan bersepdu yang menggabungkan kemahirn insaniah yang melibatkan motivasi, kemahiran sosial, kemahiran berfikir, kemahiran komunikasi dan kepimpinan serta sahsiah diri bagi memastikan kecemerlangan secara holistik.
AMG adalah platform interaktif untuk membantu pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk ke menara gading dan meningkatkan motivasi serta melatih kemahiran soft skill seperti kemahiran berfikir, kemahiran sosial, kemahiran komunikasi dan kepimpinan dan sahsiah diri.
Program AMG adalah satu-satunya program yang menggunakan pendekatan integrated multi-intervention module dalam tempoh dua tahun, iaitu para peserta dibimbing dari Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Ini bagi memastikan mereka benar-benar dapat mencapai matlamat yang ditetapkan iaitu menjejakkan kaki ke manara gading.
Pada majlis yang sama turut diadakan pelancaran buku bertajuk Pembangunan Pendidikan Orang Asli di Malaysia oleh Setiausaha Politik Kementerian Luar Negeri, Mohd Nazri Noh.