Alumni UKM dan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank Dilantik Profesor Adjung Pusat Citra Universiti
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 15 Januari 2021 – Graduan Sains Matematik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 1990, Chan Kok Long yang merupakan Pengarah Eksekutif iPay 88 (M) Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Abd Manaf dilantik sebagai Profesor Adjung pertama Pusat Citra Universiti, UKM.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar berkata walaupun pelantikan itu dibuat melalui Pusat Cita Universiti, tetapi ia adalah pelantikan untuk seluruh UKM.
“Kita berharap Datuk Nora dan Encik Chan tidak segan untuk turut membantu bukan sahaja kepada Pusat Citra Universiti, tetapi juga kepada GSB (Graduate School of Business), Fakulti Sains dan Teknologi serta Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, dan juga fakulti-fakulti lain,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Profesor Adjung Pusat Citra Universiti, di sini.
Katanya, bantuan dan sumbangan itu mungkin dapat diberikan dalam tiga perkara iaitu dalam penambahbaikan Program Citra, pembangunan modal insan dan penempatan latihan industri.
Beliau berkata bagi penambahbaikan Program Citra, kedua-dua Profesor Adjung boleh membantu dari segi membina kurikulum yang lebih baik dan lebih efektif.
“Bagi pembangunan modal insan pula, kalua boleh ia bukan sahaja dalam bentuk pengajaran seperti masuk ke kelas secara formal, tetapi kemahiran yang ada pada kedua-dua Profesor Adjung dapat dikongsi bersama pelajar.
“Manakala bagi penempatan latihan industri, kita berharap Datuk Nora dan En Chan dapat membantu para pelajar menjalani praktikal bukan sahaja di Maybank dan iPay88, tetapi juga di syarikat-syarikat lain kerana kedua-dua mereka mempunyai ramai kenalan dan kontak yang baik kerana mereka ini adalah orang yang disegani dan dihormati dalam bidang masing-masing.
“Jadi, besar harapan saya kedua-dua Profesor Adjung yang dilantik ini dapat membantu dalam penempatan pelajar-pelajar kita dalam mendapatkan latihan industri yang sesuai,” katannya.
Ujar beliau, UKM amat menghargainya dan berharap dapat bekerjasama dengan lebih rapat lagi dengan kedua-dua Profesor Adjung tersebut.
Sementara itu, Pengarah Pusat Citra Universiti, Prof. Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj@Ramli berkata Pusat Citra berasa sangat berbesar hati dengan pelantikan tersebut kerana ia adalah sumber inspirasi terutamanya kepada Pusat Citra Universiti.
“Kita akan memulakan kolaborasi dengan kedua-dua syarikat gergasi ini dan berharap agar kerjasama ini akan membawa citra UKM terkehadapan dan akan menjadi sumber rujukan untuk pengajian liberal dan pendidikan citra di peringkat negara dan juga antarabangsa,” katanya.
Datuk Nora Abd Manaf dan Chan Kok Long dilantik sebagai Profesor Adjung selama dua tahun bermula 4 Disember 2020.