Alumni-UKM Sasar Kutipan Dana RM10 Juta untuk Tempoh Lima Tahun


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 15 Oktober 2020 – Pusat Perhubungan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (Alumni-UKM) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM10 juta daripada para alumni untuk tempoh lima tahun.

Kutipan dana itu akan dibuat melalui projek Dana Wakaf Khas Alumni UKM yang dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali secara dalam talian baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata projek Dana Wakaf Khas Alumni UKM merupakan projek penjanaan yang lestari bagi memberi manfaat kepada universiti khususnya para pelajar dan juga alumni.

Beliau berkata dana yang terkumpul akan dilaburkan dan keuntungannya akan digunakan untuk pembangunan universiti seperti pembinaan fasa pertama serta penyelenggaraan dan kelestarian Kompleks Alumni UKM.

Dana tersebut turut diperuntukkan untuk penyediaan dan pembaikpulih prasarana keperluan pelajar, penganjuran program pembangunan kompetensi pelajar, kebajikan pelajar dan alumni, penganugerahan anugerah pelajar dan alumni cemerlang dan menyokong aktiviti keterlibatan alumni, tambahnya.

Sementara itu, Tan Sri Mohd Zuki berkata universiti perlu sentiasa proaktif dalam memastikan hubungan baik dengan alumninya sentiasa terjaga.

Justeru, katanya, Garis Panduan Pengurusan Alumni Universiti Awam Malaysia telah berjaya diterbitkan pada tahun 2020 di bawah penyelarasan Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memperkasa penglibatan alumni di institusi masing-masing sekali gus memperkukuhkan peranan Pusat Alumni Universiti Awam.

“Universiti sentiasa berbesar hati menerima sumbangan balik dari para alumninya dalam pelbagai kapasiti sama ada melalui sumbangan kepakaran, peluang pekerjaan dan juga sumbangan kewangan.

“Dengan keperluan universiti awam sekarang yang perlu mencari peluang penjanaan bagi sumber alternatif kewangan, saya ingin menekankan tentang penjanaan alumni.

“Antara strategi penjanaan yang lestari adalah penjanaan pendapatan melalui wakaf dan endowmen,” katanya.

Dana wakaf khas tersebut buat permulaan telah menerima sumbangan dengan nilai terkumpul sehingga kini sebanyak RM 191, 879.

Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berterima kasih diatas sumbangan dan sokongan alumni yang kini mencecah hampir 220,000 orang dalam membangunkan pelan stratergik dan hala tuju universiti.

“Dengan wujudnya dana wakaf ini, ia akan dapat membantu UKM sebagai salah satu instrumen penjanaan yang mampan bagi membolehkan universiti dan pelajar menerima manfaat dengan mengambil kira keperluan prasarana dan pembangunan kompetensi mereka,” tambahnya.