Alumni UKM Sumbang Peralatan PPE kepada Hospital di 3 Negeri


Berita dan Foto oleh Pusat Perhubungan Alumni

BANGI, 27 April 2020 – Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Perhubungan Alumni (PPA) dengan kejasama fakulti, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat alumni persendirian telah menyumbang 1,000 peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hospital-hospital di tiga negeri iaitu Selangor, Kelantan dan Melaka.

Pengarah PPA, Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman berkata sumbangan yang diberikan itu termasuk menjahit PPE untuk  Medical Mythbuster Malaysia (3M) untuk diagihkan ke hospital-hospital.

“Para alumni menyumbang dalam pelbagai bentuk seperti menyumbang bantuan kewangan, mesin dan peralatan, set PPE, bahan untuk membuat PPE, kerja-kerja menjahit, kerja-kerja membina peralatan PPE dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata untuk keseluruhan projek itu, seramai 30 orang alumni termasuk sukarelawan telah terlibat dan mereka juga turut membantu masyarakat yang tidak bernasib baik yang terkesan dengan kelembapan ekonomi akibat wabak ini.

“Alumni tampil membantu apabila masyarakat dalam keadaan memerlukan dan ini adalah hasrat universiti dalam melahirkan graduan yang berjiwa penyumbang. Peranan alumni dalam membantu negara menghadapi wabak ini cukup besar dan diperlukan oleh negara dan masyarakat khususnya,” katanya.

Selain itu, katanya, banyak kelab dan persatuan  alumni universiti bersatu tenaga dalam menyumbangkan makanan, peralatan keselamatan dan lain-lain kepada barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus memerangi COVID-19.

“Sebagai contoh, Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) bersama Kelab Bekas Mahasiswa Cina (KBMC) UKM telah menyumbang sebanyak 11,000 unit topeng muka kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM),” katanya.

Beliau berkata persatuan dan kelab juga memainkan peranan dalam mengumpul dana dan membantu pihak universiti meringankan beban pelajar dikampus seperti Kelab Bekas Mahasiswa Cina UKM bersama MCA Youth dan LCW Foundation yang telah memberikan sumbangan hand sanitizers, biskuit, mi segera dan minuman kepada Kelab Mahasiswa UKM (KMUKM) untuk diagihkan kepada mahasiwa.

Katanya, PPA juga turut menyediakan tabung untuk membolehkan para alumni menyumbang dalam menyediakan keperluan kepada pelajar-pelajar yang berada di kampus.