AMG Bantu Pelajar Kurang Bernasib Baik ke Menara Gading
Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
KUANTAN, 20 Januari 2022 – Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah bertitah agar lebih banyak pihak membantu pelajar yang kurang bernasib baik untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan.
Tengku Hassanal merujuk Program Akademi Menara Gading (AMG) merupakan contoh bantuan yang membolehkan pelajar dari keluarga miskin, anak yatim, dan anak Orang Asli menjejakkan kaki ke menara gading.
Program AMG merupakan hasil daripada kerjasama Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) atau dahulunya dikenali sebagai Yayasan Istana Abdul Aziz, Pahang melalui Dana Endowmen Tengku Ampuan Afzan.
Tengku Hassanal bertitah demikian ketika melancarkan Buku Aspirasi Menara Gading yang diadakan serentak dengan majlis penutup Access Leadership Program (ALP), yang dilaksanakan oleh YASA dan Kedutaan Besar Amerika Syarikat.
“Program AMG mendapat kerjasama sepenuhnya dari UKM untuk membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan dalam kalangan pelajar kurang baik.
“Alhamdulillah program ini telah melahirkan ribuan graduan yang berjaya dalam pelbagai bidang yang seterusnya membantu ibu bapa dan keluarga mereka hidup lebih senang,” katanya.
Tambahnya, kecemerlangan akademik juga perlu diselarikan dengan penerapan nilai murni.
“Nilai yang baik bermula di rumah di mana ibu bapa perlu memainkan lebih peranan dan bukannya menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru dan pihak sekolah,” titah baginda.
Buku Aspirasi Menara Gading setebal 384 halaman itu diterbitkan sempena lebih 20 tahun penubuhan AMG dan menghimpunkan sumbanga ahli akademik dan golongan professional yang terlibat mengendalikan AMG serta alumninya.
Buku tersebut juga merupakan rekod kepelbagaian aktiviti, kecemerlangan dan catatan pengalaman akademi tersebut.
Pada majlis yang sama, Naib Canselor Prof. Datuk Ts Dr. Mohd Ekhwan Toriman turut menyumbangkan RM25,000 bagi tujuan pembelian buku yang akan dimanfaatkan oleh pelajar AMG.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin dan pengurus AMG Prof. Dato’ Dr. Abdul Razaq Ahmad.