Anak Orang Asli Suku Temiar antara 4,139 Pelajar Baharu Mendaftar di UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 4 September 2019 – Zumika Azmi, 21, seorang remaja Orang Asli dari suku Temiar tidak menjadikan kesusahan hidup sebagai alasan untuk berjaya melanjutkan pengajian ke Univeristi Awam.

Beliau berasal dari Pos Gob, iaitu sebuah perkampungan Orang Asli yang paling terpencil di Semenanjung Malaysia, terletak kira-kira 90 kilometer dari Gua Musang, Kelantan, dengan penghubungnya hanyalah jalan balak dan jalan tanah merah yang mengambil masa sekurang-kurangnya lapan jam perjalanan semasa musim panas dan memerlukan sekurang-kurangnya 36 jam pada musim hujan.

Zumika berkata, dia berasa sangat gembira apabila menerima tawaran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Sukan dan Rekreasi).

“Saya sangat berterima kasih kepada UKM yang menerima dan memberi sokongan kepada saya untuk melanjutkan pengajian di sini. Saya tidak akan mensia-siakan peluang yang ada ini dan saya mahu menjadi contoh kepada anak-anak Orang Asli terutamanya suku kaum Temiar di Pos Gob,” katanya.

Katanya, dia sedar bahawa pendidikan adalah kunci utama bagi mengubah masa depan komuniti Orang Asli, khasnya di Pos Gob.

Anak kelima daripada 10 adik beradik itu diterima ke UKM melalui slot khas kecemerlangan sukan kerana pernah mewakili negara dalam sukan kriket dan memperoleh pingat gangsa pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Zumika juga akan mewakili negara dalam Sukan SEA 2019 yang akan berlangsung di Filipina pada November ini, selain turut mewakili Malaysia dalam beberapa kejohanan kriket di Thailand, Sri Lanka dan Emiriah Arab Bersatu.

Selain Zumika, UKM juga turut menerima kehadiran pasangan kembar seiras, Ameedtra a/p Tha Wip Sripraphan dan Ameedtri a/p Tha Wip Sripraphan yang ditawarkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Genetik.

Ameedtra berkata, dia dan adiknya sama-sama memilih UKM sebagai pilihan pertama kerana yakin dengan reputasi UKM sebagai antara universiti terbaik di Malaysia.

“UKM mempunyai kemudahan yang bagus dan persekitaran yang menenangkan. Kami berharap agar kami berdua dapat belajar dengan selesa dan menjadi pelajar yang aktif dengan melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti di UKM,” katanya.