Anggota APM Jadi Penerima Vaksin Terakhir di PPV IPT@UKM
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 4 Oktober 2021 – Anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Nur Ain Syafira Janatul Firdaus, 21, menjadi penerima terakhir vaksin bagi dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (PPV IPT@UKM), semalam.
Nur Ain Syafira yang merupakan sukarelawan di PPV tersebut adalah penerima vaksin ke -128,139 bagi dos kedua vaksin AstraZeneca.
“Saya berasa bangga dan teruja apabila diumumkan sebagai penerima terakhir suntikan vaksin di sini. Saya juga rasa terharu kerana hari ini adalah hari terakhir PPV ini beroperasi selepas lima bulan PPV ini memberi perkhidmatan suntikan vaksin kepada orang ramai,” katanya.
Dia yang telah tiga bulan menjadi sukarelawan di situ mengucapkan terima kasih kepada pihak UKM, Qualitas Health dan semua yang terlibat dengan PPV tersebut yang telah banyak membantu dan memberi semangat kepada semua petugas.
“Kerjasama di sini sangat bagus. Walaupun agak keletihan, tetapi saya sangat gembira kerana semangat team work di sini sangat hebat,” katanya.
Nur Ain Syafira juga menyeru kepada mana-mana individu yang masih belum menerima vaksin agar segera mendapatkan suntikan vaksin demi melindungi diri dan keluarga.
“Jangan risau kerana vaksin ini selamat. Suntikan vaksin ini juga adalah salah satu ikhtiar kita untuk melindungi diri dan orang di sekitar kita. Jika kita divaksin, kita akan dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 yang teruk,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata selepas dibuka pada 5 Mei 2021, PPV IPT@UKM telah memberi suntikan vaksin lebih 250,000 dos yang melibatkan dos pertama dan kedua.
“Saya dimaklumkan jumlah pemberian vaksin harian di sini mececah 1,600 dos setiap hari. Tahniah dan terima kasih kepada semua,” katanya.
Beliau berkata pemilihan UKM sebagai PPV adalah berdasarkan kepada keyakinan pihak kerajaan bahawa universiti ini berkemampuan dan memiliki kepakaran yang mantap untuk membantu kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
“UKM mempunyai kemahiran menggerakkan usaha serta kesukarelawanan khususnya dalam kalangan pensyarah, pegawai, staf sokongan dan pelajar demi menjayakan usaha kerajaan untuk memberi vaksin kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata walaupun PPV IPT@UKM ini telah tamat operasi, tetapi sumbangan UKM tidak akan terhenti di sini kerana PPV Bergerak Hospital Canselor Tuanku Muhriz (PPVB HCTM) masih lagi meneruskan operasinya menjelajah seluruh pelosok bagi memberi suntikan vaksin kepada masyarakat.
“Kami akan meneruskan perkhidmatan pemberian vaksin kepada masyarakat di seluruh negara. Inilah jaringan IPT (Institusi Pengajian Tinggi) bersama masyarakat dan alumni dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok,” katanya.