Antena Radio Lebih Kecil Akan Wujud Untuk Pemindahan Data Tinggi Tidak Lama Lagi
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 9 Mac 2015 – Alat-alat elektrik yang lebih kecil dan ringan untuk mengalih tenaga elektrik kepada gelombang radio dan sebaliknya, atau antena adalah kunci kepada pemindahan data kelajuan tinggi termasuk pengimejan tiga dimensi dalam masa terdekat nanti.
Jurutera Telekomunikasi Prof Dr Mohammad Tariqul Islam dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata antena serba guna akan menjadi lebih kecil sebagai peranti band ultra-lebar (UWB) dan RFID.
Ketika menyampaikan syarahan umumnya di sini hari ini, Prof Tariqul Islam berkata RFID dan UWB perlukan antena yang lebih padat untuk ia dapat dipasang pada peranti mudah alih.
UWB adalah tahap tenaga yang amat rendah untuk komunikasi jarak dekat yang berkelajuan tinggi dengan menggunakan spektrum radio, manakala RFID adalah penggunaan medan elektromagnet tanpa wayar untuk memindahkan data serta mengenal pasti dan menjejaki tag yang dilekatkan kepada barang secara automatik.
Beliau menjelaskan bahawa antena lebih kecil untuk band UWB akan diperlukan untuk rangkaian kelajuan tinggi telekomunikasi yang digunakan untuk pengimejan perubatan, rangkaian sensor kepadatan tinggi malahan juga untuk sistem radar.
Antena RFID pada frekuensi operasinya adalah suatu alat penting dalam teknologi yang mampu mewujudkan rangkaian lengkap dan sempurna bagi komputer di tempat kerja.
Antara reka bentuk antena yang boleh didapati dan yang paling menarik bersaiz kecil dengan bentuk rata atau satah. Ia amat diperlukan untuk pelbagai aplikasi komunikasi.
Prof Tariqul Islam bagaimanapun mengingatkan bahawa prestasi reka bentuk yang rata atau satah yang ketara dipengaruhi oleh saiz bahan penebat.
Beberapa antena direka daripada bahan meta, atau bahan-bahan tiruan yang dicipta yang mempunyai ciri-ciri yang belum lagi dijumpai di alam dibuat dengan begitu tipis hinggakan kelihatan seperti jalur kerajang untuk memudahkan integrasi ke dalam peranti padat seperti telefon pintar.
Penemuan bahan meta baru-baru ini membolehkan antena yang direka dengan ciri-ciri baru elektromagnet, seperti permittiviti dan keboleh telapan.
Antena satah RFID sesuai untuk peranti bimbit tetap bagi rangkaian dekat dalaman dan panjang dalaman/luaran.
Beliau berpendapat band UWB akan menjadi sebahagian daripada rangkaian telekomunikasi berkelajuan tinggi yang boleh melakukan penghantaran data amat tinggi termasuk imej tiga dimensi yang berresolusi tinggi.
Prof Tariqul Islam telah memenangi beberapa pingat emas sebagai Pencipta Terbaik kerana kajian dan inovasinya.
Beliau kini menyelia banyak projek penyelidikan dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementrian Pendidikan dan beberapa geran penyelidikan dari Jepun.
Beliau menyempurnakan ijazah PhD bagi Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem di UKM pada tahun 2006.