Anugerah Bitara UKM Hargai Jasa dan Pengorbanan Warga UKM
Oleh Nur Aisyah Mohamed Rizal
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 2 September 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghargai segala jasa dan pengorbanan seluruh warganya dalam memastikan Universiti Watan itu sentiasa berada dihadapan dengan mengukir kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang.
Penghargaan itu dizahirkan melalui Majlis Anugerah Bitara UKM 2022 yang diadakan baru-baru ini di Hotel Bangi Resort, di sini.
Dalam ucapannya, Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata kejayaan UKM pada hari ini adalah hasil usaha seluruh warganya yang tidak pernah putus demi memastikan universiti itu berada di persada antarabangsa.
“Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada semua warga UKM sama ada staf akademik, pentadbiran, pelaksana dan para mahasiswa kerana telah berjaya memainkan peranan masing-masing meletakkan UKM di landasan yang betul dalam meraih beberapa kejayaan di peringkat negara mahu pun antarabangsa.
“Kejayaan, kecemerlangan dan kebitaraan UKM pada hari ini sebagai universiti ke-129 terbaik dunia, tidak lain dan tidak bukan adalah hasil usaha warga UKM. Keringat dan usaha warga ini tidak kita lupa, Universiti sediakan platform ini secara tahunan bagi mengiktiraf kejayaan, sumbangan dan prakarsa para akademia dan warga UKM dalam membangunkan Universiti Watan ini di persada negara dan antarabangsa,” katanya di Majlis Anugerah Bitara UKM 2022.
Beliau bekata anugerah dan pengiktirafan itu hanyalah satu manifestasi kepada satu kejayaan yang diraih oleh yang terbaik dari kalangan yang terbaik di UKM.
“Dedikasi dan penghormatan haruslah diberikan kepada semua warga UKM yang telah bersama berusaha gigih tanpa penat lelah, memerah keringat dan idea dalam menjayakan semua agenda pembangunan dan pemerkasaan universiti,” katanya.
Sesuai dengan majlis penyampaian anugerah pada kali ini, beliau berharap agar kerjasama di semua peringkat universiti dapat digerakkan secara bersama untuk memantapkan lagi penunjuk penting bagi proses utama universiti iaitu penyelidikan, pendidikan dan khidmat.
“Saya amat berharap semua dekan dan pengarah serta ketua-ketua PTj (Pusat Tanggungjawab), terus komited dalam menyediakan serta memantapkan pelan hala tuju strategik masing-masing selaras dengan nilai TERAS UKM.
“Setiap pelan yang dirangka perlulah dapat diukur pencapaiannya serta berupay menggalakkan inovasi dan perubahan di PTj masing-masing,” katanya.
Naib Canselor juga berharap anugerah yang diberikan dapat menjadi pemangkin kepada semua penerima untuk terus mara dan mencipta kejayaan serta menobatkan nama baik UKM di persada antarabangsa, selain mengukuhkan kecemerlangan UKM di peringkat nasional.