Aplikasi RakanBM Bantu Pelajar Asing Belajar Bahasa Melayu


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 3 November 2021 – Pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan aplikasi RakanBM bagi membantu pelajar asing belajar Bahasa Melayu (BM) dengan mudah.

Projek penyelidikan bertajuk ‘Aplikasi Mudah Alih dan Augmentasi Realiti Bahasa Melayu Untuk Penutur Asing itu diketuai oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin Bersama lapan lagi penyelidik lain dari pelbagai fakulti iaitu FTSM, ATMA, CITRA dan IVI.

Prof. Dr. Nor Hashimah berkata projek tersebut adalah hasil perbincangan antara Jawatankuasa Bahasa Melayu untuk Penyelidikan dan Inovasi, Prof Khairul Anwar Mastor dengan Prof Sobri Takiff pada 2020 demi mengangkat martabat penyelidikan BM di UKM.

“Dalam masa setahun dan kekangan COVID-19, kami berjaya menghasilkan RakanBM. Ia merupakan aplikasi mudah alih BM yang pertama untuk penutur asing yang dihasilkan secara bersepadu, iaitu melibatkan kemahiran mendengar, bertutur, menulis dan membaca.

“RakanBM ini menggabungkan sekali maklumat budaya bagi membantu pelajar memahami BM dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata aplikasi tersebut telah melalui tahap penilaian bagi isi kandungannya oleh tenaga pengajar bahasa asing, dan reka bentuknya oleh pakar teknologi maklumat.

“Pengajar bahasa asing dipilih dari UM, UKM, UMP, dan Kementerian Pelajaran Singapura, manakala pakar teknologi maklumat adalah dari UUM dan UTM,” katanya.

Menurut beliau, RakanBM kini sedang dinilai oleh pengguna iaitu pelajar bahasa asing dari pelbagai negara di dunia termasuk dari Jepun, Turki, United Kingdom, Jordan, Nigeria, Yaman, China, Australia dan pelajar-pelajar pra universiti di Singapura.

“RakanBM yang dihasilkan ini adalah untuk peringkat novis dan perlu disambung untuk tahap novis 2, dua tahap pertengahan dan dua tahap lanjutan.

“Komitmen dari semua penyelidik akan mampu menghasilkan RakanBM2,3,4 dan 5 dengan membawa sekali nama UKM sebagai pelopor aplikasi mudah alih untuk penutur asing yang disenangi dan dikagumi ramai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat IDEA, Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal berkata keupayaan penyelidik UKM menghasilkan aplikasi RakanBM telah memberi nafas baharu dan inovasi kepada pembelajaran Bahasa Melayu kepada penutur asing.

“Kejayaan fasa pertama untuk penutur novis pastinya akan diteruskan ke fasa pertengahan dan fasa lanjutan dengan dana yang bersesuaian.

“UKM sebagai universiti watan terpanggil memenuhi tanggungjawab ini untuk menyebarluaskan pengajaran dan pembelajaran BM sebagai bahasa asing di merata dunia,” katanya.

Aplikasi RakanBM dilengkapkan dengan audio dan video. Di samping bahasa, pelajar juga didedahkan dengan maklumat budaya Melayu sekali gus.

Aplikasi itu juga disertakan dengan beberapa latihan bagi tujuan memahirkan pelajar dengan Bahasa Melayu mereka. Sebagai tambahan beberapa latihan augmentasi realiti   telah diberikan penekanan   supaya pengalaman pembelajaran menjadi lebih menarik.

Aplikasi RakanBM boleh dimuat turun melalui android dan IoS secara percuma dan menjadi pelantar pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang serba canggih dan moden.