Asean Komited Realisasikan Isu Untuk Maju Bersama
Oleh Radzuan Ghazali
Gambar oleh Abdul Raai Osman
KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2016 – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapha Mohamad telah melancarkan buku bertajuk The Asean Comprehensive Investment Agreement: The Regionalisation of Laws and Policy on Foreign Investment karya Timbalan Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM dan Profesor Undang-Undang, Prof Julien Chaisse dari University of Hong Kong, baru-baru ini.
Buku tersebut telah dilancarkan di Forum Integrasi Ekonomi Asean yang berlangsung di Kuala Lumpur Regional Centre of Arbitratioan (KLRCA), Kuala Lumpur.
Forum dua hari ini telah dihadiri oleh kira-kira 100 orang peserta dari dalam dan luar negara yang berkhidmat di pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
Terdahulu Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dalam ucapan alu-aluannya berkata, forum ini bertujuan untuk mengkritik dan menganalisa prospek serta cabaran yang dihadapi oleh negara-negara ASEAN dan kawasan serantau, di samping membincangkan impak integrasi Asean terhadap sosio-ekonomi negara-negara ahli.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Menteri Hubungan Ekonomi Republik Timor Leste, Estanisiau de Silva, Pesuruhajaya Tinggi Kepulauan Soloman ke Malaysia, Vicor Samuel Ngele, dan Pengarah IKMAS UKM, Prof. Dr. Rashila Ramli.