Aspek Biodiversiti Diterapkan Dalam Program Perkongsian Mobiliti Antarabangsa 2015

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 30 Julai 2015 –  Aspek Biodiversiti Alam Sekitar akan diberi tekanan kepada  44 pelajar tempatan dan antarabangsa yang menyertai program Perkongsian Mobiliti Pelajar Antarabangsa 2015 (GSMP)  yang dianjurkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama tiga minggu bermula 29 Julai .

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata program tersebut bukan sahaja untuk membina jambatan silaturahim antarabangsa tetapi juga bagi mempromosikan sifat faham memahami antara satu sama lain yang bukan sahaja dari segi sosial dan budaya tetapi meningkatkan apresiasi terhadap alam sekitar terutamanya dalam aspek biodiversiti sama ada di darat, di laut atau di persisiran pantai.

“Bagi tujuan itu, kita akan membawa para peserta ke tempat-tempat yang mempunyai penduduk peribumi (orang asli) di Hutan Royal Belum, Perak dan rumah panjang masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak melalui program Masyarakat Pribumi Malaysia (ICM).

“Satu lagi program yang turut dijalankan adalah Kelestarian Warisan Tropika (STH) yang akan membawa para pelajar ke Langkawi, Kedah dan Lembah Danum, Sabah,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Perkongsian Mobiliti Pelajar Antarabangsa 2015, di sini pada 29 Julai 2015.

Beliau berkata untuk pelajar yang memilih menyertai program STH, mereka akan dibawa ke tempat-tempat menarik di Pulau Langkawi termasuklah menaiki kereta kabel di Gunung Mat Cincang dan ke Sabah iaitu Lembah Danum.

“Program STH memberi penekanan kepada warisan alam semulajadi. Untuk edisi kali ini, ia berbeza dengan edisi sebelum ini kerana pihak kami telah mendapat kelulusan untuk masuk ke Taman Laut Sipadan.

“Kita juga telah mendapat kerjasama daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan pegawai-pegawai ESSCOM akan mengetuai dari aspek keselamatan peserta dan semua kakitangan yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras ICM, Dr Vivien Yew berkata para pelajar yang memilih untuk menyertai ICM akan didedahkan dengan peralatan asli yang digunakan dalam upacara perkahwinan kaum Bidayuh serta memberi idea kepada kaum Iban dalam menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

“Jika sebelum ini kita hanya meminta pelajar-pelajar itu membuat perbandingan antara kehidupan kaum Iban dan Bidayuh tetapi kali ini kita akan memberi peluang kepada mereka untuk melihat sendiri upacara perkahwinan kaum Bidayuh yang menggunakan peralatan asli tanpa mencampur dengan budaya Melayu atau Cina.

“Selain itu, kita akan lihat sejauh mana idea-idea yang mereka berikan dapat membantu kaum Iban dalam menjaga kebersihan,” katanya.

Prof Emeritus Dato’ Dr Hood Mohd Salleh berkata bagi program Komuniti Orang Asli, para pelajar akan dibawa ke perkampungan orang asli di Royal Belum, Perak bagi menyelusuri dan melihat dengan lebih dekat kehidupan masyarakat pribumi Malaysia.

“Kita nak beri peluang kepada mereka (pelajar) untuk berinteraksi bersama orang asli supaya pemerkasaan orang asli itu sendiri dapat dilakukan melalui hubungan mereka dengan masyarakat luar terutamanya hubungan ekonomi.

“Bagaimana kita dapat meningkatkan ekonomi mereka melalui satu pemikiran dan persamaan idea? Itu yang kita nak cuba sampaikan.  Untuk makluman, kini semakin ramai masyarakat orang asli melakukan perniagaan homestay, ramai orang asli membersihkan kampung mereka dan membawa pelancong kepada nature adventure untuk menghayati cara hidup mereka. Ini satu perkembangan baik,” katanya.

Prof Dr Mazlin berharap agar lebih ramai pelajar-pelajar dari universiti luar negara akan mengikuti program ini pada masa hadapan selain turut berhasrat untuk menghantar pelajar-pelajar UKM ke negara-negara yang berinteraksi dengan Malaysia.

Sepanjang tujuh kali program Perkongsian Mobiliti Pelajar Antarabangsa diadakan, ia telah melahirkan seramai 168 alumni daripada 16 buah negara di seluruh dunia termasuk Mexico, United Kingdom, Hong Kong dan Australia, katanya.ukmnewsportal-bm
2

3