Aspirasi, Pandangan Pensyarah Baharu UKM Terhadap Universiti Watan


Oleh Suhaila Shahrul Annuar
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 10 Mei 2022 – Sesi ramah mesra dan libat urus antara pensyarah baharu dengan Naib Canselor UKM adalah antara platform terbaik untuk menyelami pandangan dan aspirasi mereka terhadap universiti watan.

Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata sedemikian semasa Program Sembang Aidilfitri Pensyarah Baharu Bersama Naib Canselor UKM.

Tambahnya, pandangan kelompok ini penting ke arah kelestarian idea agar universiti terus bergerak cemerlang.

“Banyak input dan idea yang bernas dapat kita perolehi daripada sesi libat urus dan ramah mesra ini yang sekaligus akan meningkatkan kerjasama dan sumbangan mereka kepada universiti.

“Pada majlis ini, rata-rata mereka saya lihat teruja menjadi warga universiti watan dan sedia bekerjasama bagi memastikan UKM terus relevan bukan sahaja di persada kebangsaan tetapi juga antarabangsa,” katanya.

Seramai 10 pensyarah baharu UKM dari Fakulti Sains dan Teknologi, Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Pusat GENIUS@Pintar Negara, Institut Perubahan Iklim, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Pusat Pengajian Citra Universiti, Fakulti Pengajian Islam, dan Fakulti Pendidikan turut serta dalam program itu.

Dalam pada itu katanya, adab dan adat mestilah menjadi pegangan kepada setiap warga UKM.

“Kita adalah universiti yang mempunyai daulat rakyat, semestinya warga UKM itu mesti menghayati setiap adab dan adat kita kerana lahirnya UKM ini daripada cetusan idea rakyat yang bersifat memartabatkan adab dan adat mereka.

“Saya yakin, kelompok pensyarah baharu ini faham misi, visi serta aspirasi UKM di bawah lembayung TERAS memandangkan mereka adalah pelapis yang akan menggantikan kami dan akan memegang amanah pendaulat negara,” katanya.

Sementara itu, pensyarah dari Pusat Pengajian Citra Universiti UKM, Dr Puteh Noraihan A Rahman berkata program ramah mesra pensyarah baharu bersama Naib Canselor memberi pendedahan lebih luas dan memberi nilai tambah dalam perkhidmatan.

“Sesi seperti ini sememangnya sangat bermanfaat kerana pensyarah  baharu berpeluang berkongsi idea dan pandangan dengan pengurusan tertinggi UKM,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Pusat Pembangunan Profesional dan Kepimpinan, Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi Mohamad.