ATMA Singkap Sejarah Kota Kuala Kedah


Oleh: Mohamad Salleh Sulieman
Foto: Ikhwan Hashim

BANGI, 25 Januari 2022- Sejarah Kota Kuala Kedah sebagai sebuah kota maritim terkemuka suatu ketika dahulu akan diangkat melalui penerbitan buku yang diusahakan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM melalui kerjasama penyelidikan dan penerbitan dengan Lembaga Muzium Negeri Kedah (LMNK).

Menurut Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, projek penyelidikan yang bertajuk Kota Kuala Kedah: Sejarah dan Evolusi Kota Maritim ini bertujuan mengembangkan sejarah kota lama tersebut sebagai salah satu aspek warisan di negara ini.

“Buku ini akan menjadi rujukan utama kepada para pengkaji dan pencinta sejarah serta membuka satu lagi lembaran baru terhadap bidang sejarah negara yang lebih bersifat multi disiplin.

“Saya yakin dengan kepakaran felo penyelidik ATMA dalam bidang pelbagai seperti perbandaran, penempatan Melayu tradisional, seni bina, sejarah, dan arkeologi akan dapat mengupas perspektif sejarah dan evolusi dari sudut perancang bandar dan wilayah khususnya Kota Kuala Kedah sebagai sebuah kota maritim dan sebuah perbandaran Melayu awal.

“Kefahaman terhadap prinsip perbandaran Melayu awal yang terancang dan masyhur satu ketika dulu diharap akan menjadi panduan dan model kepada pelan pembangunan dan kelestarian kota pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menambah, kerjasama ini dapat menjadi satu platform yang tepat untuk memperkasa warisan alam dan tamadun Melayu selaras dengan kerangka TERAS UKM yang mengandungi elemen kebitaraan watan yang menjadi hala tuju strategik UKM.

“UKM juga akan sentiasa menyokong dan mendukung aktiviti penyelidikan berimpak dan penerbitan yang dapat mengangkat sejarah dan warisan negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Menurut  Felo Penyelidik Kanan, Prof Madya Dr. Nor Zalina Harun, penyelidik muda yang dikenali sebagai Encik Mohd Herman Roslan dari Arkib Negeri Pahang adalah antara individu utama yang akan menjayakan projek penyelidikan ini.

“Idea perlaksanaan ini sebenarnya tercetus apabila penyelidik menjalankan kutipan data mengenai sejarah dan petempatan Melayu awal di Arkib Negara Thailand pada tahun 2018,” ujarnya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah, Encik Suhaidi Shukri, dan para pegawai kanan Lembaga Muzium Negeri Kedah.