ATT7 Fokus Kepada Penguasaan Bahasa ASEAN

1
Oleh Asmahanim Amir

Foto Abdul Raai Osman

SUBANG JAYA, 13 Oktober 2016 – UKM terus mengorak langkah dalam menggalakkan pemahaman masyarakat global tentang tradisi dan budaya ASEAN melalui The 7th Asian Translation Traditions Conference (AAT7), yang telah dianjurkan baru-baru ini.

Persidangan tersebut telah memfokuskan kepada penggunaan dan penguasaan bahasa ASEAN bagi membolehkan masyarakat ASEAN memahami bahasa masing-masing, terutamanya dalam kalangan pelajar di institusi pendidikan tinggi.

“Salah satu strategi utama kita adalah untuk memastikan bahasa ASEAN adalah bahasa yang biasa (sering didengar) dalam institusi pendidikan tinggi di Malaysia,” kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah ketika menyampaikan ucapan pada AAT7 di Universiti Monash Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata persidangan itu adalah sejajar dengan usaha UKM untuk terus maju di dalam dan luar negara sebagai sebuah institusi yang menggalakkan pemahaman masyarakat global tentang tradisi dan budaya tempatan.

“UKM mempunyai kepentingan yang ketara dalam menyumbang kepada bidang terjemahan dan ini adalah sebagai salah satu cara untuk mewujudkan satu platform untuk masyarakat global dengan budaya yang pelbagai di universiti,” katanya.

Katanya penganjuran ATT7 adalah testimoni terbaik dalam jalinan kerjasama antara Universiti Awam dan Swasta dalam menganjurkan persidangan antabangsa.

“Ini selaras dengan pelan tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia dari segi mensinergikan institusi pendidikan awam dan swasta.

“Saya berharap akan ada lebih banyak lagi kerjamasa antara UKM dan Universiti Monash pada masa akan datang,” ujarnya.ukmnewsportal-bm
2

3

4