AYVP Filipina 2016 Satukan Belia ASEAN

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

MANILA, 1 Sept 2016 – Program Sukarelawan Belia ASEAN (AYVP) 2016 anjuran UKM ,yang diadakan di University of Philippines (UP), Manila telah berjaya menyatupadukan belia ASEAN dalam membantu penduduk Manila mengurus risiko bencana alam.

Program yang diadakan selama sebulan bermula itu telah menghimpunkan hampir 50 sukarelawan belia dari 10 negara ASEAN termasuk 13 dari Malaysia dengan menggunakan tema Pengurusan Risiko Bencana.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata program seperti itu amat penting kerana dapat melatih belia tentang kepimpinan, kesukarelawanan dan semangat ASEAN di rantau ini.

“AYVP sebenarnya telah mewujudkan peluang rantau ASEAN yang paling besar bagi golongan belia ASEAN.

“UKM, bersama tiga universiti ini iaitu UP, Ateneo De Manila University dan De La Salle University telah melangkah ke hadapan bagi menjayakan AYVP untuk edisi 2016,” katanya semasa Majlis Penutup AYVP UKM Philippines 2016 di University of Philippines, Manila baru-baru ini.

Katanya, majlis penutupan itu bukan pengakhiran program tetapi permulaan perjalanan baru kepada para peserta.

“Manfaatkan rangkaian, kukuhkan persahabatan yang dibina dan masukkan maklumat latihan, pengetahuan dan penyelesaian praktikal yang telah dipelajari daripada pakar-pakar dan masyarakat di sini untuk dipraktikkan di negara anda,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Datuk Dr Rokiah Omar berkata semua sukarelawan telah didedahkan dengan pengurusan risko bencana termasuk berkenalan dengan komuniti.

“Mereka (sukarelawan) telah ditempatkan dengan komuniti selama dua minggu dan berbincang serta berkongsi dengan komuniti tentang perkara yang telah mereka pelajari tentang persediaan untuk menghadapi bencana,” katanya.

Beliau berkata selepas dua minggu, peserta kembali ke UP dan melakukan refleksi dengan menerangkan bagaimana mereka menggunakan ilmu dan berkongsi dengan masyarakat untuk diaplikasikan di negara masing-masing.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Presiden UP, Dr Alfredo E Pascual, Presiden Anteneo De Manila University, Fr Jose Ramon T Villarin Sj, Presiden De La Salle University, Br Raymundo B Suplido FSC dan wakil duta setiap negara ASEAN di Filipina.ukmnewsportal-bm
2

3