Bahasa Melayu Perlu Bangun Bersama Bahasa Inggeris

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 21 Julai 2016 – Bahasa Melayu perlu bangun bersama Bahasa Inggeris bagi meningkatkan tahap penggunaan dan penguasaannya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata kedua-dua Bahasa itu perlu bangun seiring supaya Bahasa ibunda tidak ketinggalan.

“Masalah yang kita hadapi sekarang adalah kita hanya menumpukan Bahasa lain sedangkan bahasa kita (Bahasa Melayu) semakin merosot.

“Kesudahannya bahasa kita menjadi Bahasa pasar kerana kita hanya bangunkan bahasa orang lain, tetapi bahasa kita dipinggirkan,” katanya kepada media selepas Forum Bicara Persada ke-30 dengan tajuk Bahasa Kebangsaan Dalam Pendidikan Tinggi: Terpahat atau Terpinggir yang diadakan di sini baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan bahawa budaya mencerminkan bahasa.

“Jika bahasa kita sopan, budaya dan tingkah laku kita juga sopan.

“Kalau kita faham lenggok bahasa kita, cara kita berbudaya dan cara kita membawa diri, ia mencerminkan budaya dan bahasa kita,” jelasnya.

Sementara itu, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo yang merupakan salah seorang ahli panel pada forum tersebut mengesyorkan supaya Universiti Awam (UA) memperkenalkan Bahasa Melayu Ilmu Tinggi (BMIT) sebagai banteng terakhir dalam mempertahankan akal budi dan kesarjanaan Melayu di Tanah Air.

“BMIT bermaksud bahasa yang digunakan untuk menyampaikan syarahan, pembentangan kertas kerja dalam persidangan atau seminar, laporan ilmiah termasuklah penulisan tesis, buku dan jurnal,” katanya.

Beliau berkata semua UA sama ada yang matang atau sedang membangun perlu bersepakat dalam memartabatkan BMIT.

“Majlis Bahasa Melayu Ilmu Tinggi Universiti Awam (MBITUA) perlu diwujudkan bagi menentukan dasar, strategi dan pelan tindakan dalam memastikan pelaksanaan dapat diteruskan.

“Bayangkan jika semua UA menyampaikan semua program pengajian dalam bahasa kebangsaan, tiada siapa dapat meragui keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi,” katanya.

Turut menjadi ahli panel adalah Ketua Eksekutif merangkap Ketua Editor Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan dan moderator adalah Syed Munawar Syed Mustar.ukmnewsportal-bm
2

3