Baju Korporat & Kad Kampus Baharu Serlah Citra UKM


Oleh Salleh Sulieman
Foto Ikhwan Hashim & Shahiddan Saidi

BANGI, 24 Mac 2022- Pelancaran baju korporat dan kad kampus baharu UKM semasa Bicara Perdana Naib Canselor 2022- Mara UKM baru-baru ini mampu menyerlahkan citra UKM pada mata masyarakat.

Citra watan diterap dengan jelas sekali dalam rekaan baju korporat baharu dengan kombinasi logo UKM dan dominasi warna biru sebagai warna tradisi UKM.

Lebih menarik, motif songket merah yang menjadi identiti UKM sejak sekian lama turut dimuatkan pada bahagian dalam kolar baju.

Rekaan baju korporat ini juga mengekalkan potongan moden dan kontemporari dan sesuai dengan cita rasa penggemar fesyen semasa.

Selain itu, fabrik yang lembut dan tidak panas memberikan keselesaan pada pemakai.

Pemakai juga tidak perlu risau kerana baju korporat baharu ini ditawarkan dengan pelbagai saiz dan pilihan lengan pendek atau panjang bagi lelaki dan perempuan serta boleh dilipat.

Semasa pelancaran, Naib Canselor UKM Prof. YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman turut menggayakan baju korporat baharu yang ditayangkan kepada warga UKM buat julung kali bersama tiga lagi model.

Dalam pada itu, seluruh warga dan pelajar UKM berpeluang mendapatkan kad kampus baharu tidak lama lagi.

Pengumuman pemenang kad kampus baharu dibuat setelah pertandingan Mencipta Reka Bentuk Kad Kampus yang dianjurkan oleh Jabatan Pendaftar UKM mendapat sambutan hebat daripada warga UKM sekitar Februari lalu.

Sentuhan kreatif pereka iaitu Encik Meor Sony Hermi dari Pusat Teknologi Maklumat yang mneggabungkan tiga warna UKM yang diadun dengan motif songket telah berjaya menawan hati panel yang memilih rekaan beliau sebagai pemenang.