Bangunan Moden UKM bernilai RM23 Juta Tawar Makmal Eye Tracking Pertama di Malaysia


Oleh Dr. Azianura Hani Shaari
Foto oleh Kamarul Arifin Mohd. Sanusi

BANGI, 14 Februari 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara rasminya telah menyelesaikan projek pembinaan bangunan Makmal Penyelidikan Bahasa, Media dan STEM yang bertempat di Kampus Bangi, Selangor. Majlis disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir. Mohd Zawawi Zakaria melalui penyerahan replika kunci sebagai simbolik penyerahan bangunan baharu tujuh tingkat yang berkonsepkan moden kontemporari ini. Projek pembinaan bangunan ini menerima peruntukan sebanyak RM23 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Usaha awal projek penubuhan bangunan makmal ini dimulakan oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM, yang diterajui oleh Prof. Dr. Hjh. Hazita Azman sebagai Dekan FSSK, dengan dibantu oleh Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, FSSK, UKM. Tujuannya adalah untuk merancakkan pembelajaran dan penyelidikan bahasa di UKM, termasuk kursus-kursus bahasa asing serta penyelidikan eye tracking yang memberi banyak manfaat kepada masyarakat dan negara. Bangunan ini mempunyai kemudahan-kemudahan seperti bilik kakitangan, bilik-bilik makmal dan bilik pembelajaran, bilik-bilik audio visual, studio rakaman TV dan radio dan surau.

Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir. Mohd Zawawi Zakaria melalui ucapannya, melahirkan penghargaan di atas kejayaan projek ini. “Hasil kerjasama, kolaborasi dan tolak ansur daripada pelbagai pihak, akhirnya projek ini berjaya direalisasikan bagi memenuhi permintaan dan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang mahir dalam bidang teknologi dan berkeupayaan menghadapi cabaran teknologi baru yang lebih kompleks,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Bangunan Baharu Makmal Digital Multimedia dan Penyelidikan Bahasa, Program STEM dan i-MINDA UKM, di sini hari ini.

Beliau berharap dengan siapnya projek pembinaan itu, ia mampu melahirkan tenaga kerja profesional dalam pelbagai sektor yang dapat membantu membangunkan negara. “Misi menjadi negara maju mampu direalisasikan dengan lahirnya pekerja mahir dalam setiap bidang yang dikehendaki terutamanya untuk program-program pembangunan negara,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata bangunan tersebut akan menempatkan tiga Pusat Tanggungjawab iaitu Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik dan Pusat Kajian Media dan Komunikasi (MENTION), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan; Pusat Kajian Pembudayaan STEM, Fakulti Pendidikan; serta Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (i-MINDA UKM).

Katanya, ruang makmal bahasa Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik (PKBL) yang ada di bangunan tersebut bakal memenuhi keperluan semasa terhadap penyelidikan bahasa yang bersifat inovatif dan terkehadapan serta penguasaan bahasa-bahasa dunia di samping bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

“Ruang pengajaran dan penyelidikan bahasa yang disediakan direka bentuk dengan kemudahan terkini atau state-of-the-art. Saya dimaklumkan terdapat terdapat lima makmal bahasa yang berkonsepkan ruang pengajaran dan pembelajaran yang selesa, lapang, terbuka dan fleksibel,” katanya.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan memberitahu bahawa terdapat dua ruang penyelidikan yang khusus untuk aktiviti penjanaan data bagi penyelidikan bahasa, terjemahan dan kejurubahasaan yang berimpak tinggi.

“Ruang penyelidikan ini juga menempatkan eye-tracker untuk penyelidikan bahasa yang barasaskan data yang dijana daripada aktiviti pergerakan anak mata.  Eye tracker kini merupakan alat penting untuk mengukur pemprosesan bahasa tabii secara objektif dengan implikasi yang amat penting dalam bidang pangajian bahasa dan linguistic,” kata beliau.

Selain itu, katanya ruang yang disediakan bagi pelajar MENTION di bangunan baharu tersebut terfokus kepada pembelajaran secara praktikal bagi kursus-kursus berkaitan produksi dan pasca produksi media.

“Secara spesifiknya ruang seperti Studio TV, Stesen Radio dan Bilik Penyuntingan Media akan menyediakan suasana kondusif bagi menyokong pelajar untuk berfikir secara kreatif dan kritis menggunakan teknologi dan perisian terkini yang setanding industri,” katanya.

Dalam mengikuti revolosi terkini, beliau berkata bangunan yang turut menempatkan Pusat Kajian Pembudayaan STEM itu akan dijadikan hub pembudayaan dan pemerkasaan Pendidikan STEM melalui penyelidikan yang berimpak tinggi dan merupakan satu platform jangkauan komuniti yang sangat eksklusif oleh UKM.

“Pusat kajian ini adalah suatu inspirasi transformasi yang memfokus kepada pengemblengan dan penyelarasan usaha ke arah pembudayaan STEM dalam konteks menghasilkan masyarakat yang progresif, dinamik, saintifik, dan inovatif berteraskan Sains dan Teknologi,” katanya.

i-MINDA UKM yang turut sama berkongsi bangunan tersebut pula ditubuhkan untuk memberi penekanan dan fokus kepada isu berkaitan pembangunan dan kemajuan ekonomi yang bersifat insklusif serta mengecilkan jurang pendapatan rakyat.

Katanya, selari dengan Kebitaraan TERAS UKM, MINDA UKM telah diubah nama kepada i-MINDA UKM untuk menjalankan prakarsanya yang memfokus kepada advokasi, inovasi, ekosistem penyelidikan, nilai dan mutu serta translasi.

“i-MINDA UKM ditubuhkan untuk mencerakin isu kritikal negara, mengembangkan idea dan merangka dasar berkualiti untuk pertumbuhan ekonomi yang saksama dan inklusif yang dapat memberi manfaat yang signifikan kepada masyarakat dan negara,” jelasnya.

Beliau berharap dengan adanya kemudahan ruang dan prasarana yang serba lengkap itu, ia akan meningkatkan peranan universiti dalam menerajui pembangunan negara.

“Sebagai sebuah universiti watan, UKM bukan sahaja berperanan menjalankan penyelidikan berimpak, meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dan melahirkan graduan untuk memenuhi tenaga kerja, malah universiti berperanan membantu menentukan hala tuju negara ke arah mencapai wawasannya,” katanya.