Banjir Teruk Akibat Fenomena Bulan Purnama, Hujan Lebat Dan Angin Kuat Berlaku Serentak

Phenomena1Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Izwan Azman

BANGI, 1 Januari 2015 – Kejadian serentak hujan lebat daripada sistem awan aktif ditambah angin kencang yang berlaku semasa monsun timur laut hingga membawa ombak besar ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia telah menyebabkan banjir teruk di kawasan itu bulan lalu.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Dr Mastura Mahmud berkata gabungan itu ditambah dengan fenomena bulan purnama yang telah meningkatkan ketinggian air pasang hingga menyekat pengaliran air sungai ke laut telah membawa kepada banjir besar itu.

Dalam suatu pertemuan dengan Pusat Komunikasi Korporat baru-baru ini, Prof Mastura berkata gabungan itu adalah faktor utama berlakunya banjir yang menenggelamkan beberapa kawasan meluas di Pantai Timur khasnya Kelantan.

Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh berlaku kerana wujudnya sistem tekanan tinggi di China dan Siberia ketika berlaku tekanan rendah di khatulistiwa.

“Sistem tekanan rendah di khatulistiwa wujud dalam tempoh beberapa minggu lalu hingga menyebabkan angin kencang bergerak dari sistem tekanan tinggi kepada sistem tekanan rendah dan membawa cuaca sejuk serta hujan lebat hingga mengakibatkan banjir,” tambah beliau.

Beliau juga menerangkan bahawa suhu rendah yang pernah berlaku di Kuala Krai, Kelantan pada awal tahun 2014 juga berlaku semasa Monsun Timur Laut sekarang.

“Perubahan yang berlaku dari hari ke hari menandakan wujudnya keadaan berubah-ubah yang terdapat dalam sistem cuaca.”

Jabatan Meteorologi Malaysia telah dilengkapi dengan sistem untuk memantau awan, serta sistem radar yang boleh melihat keamatan hujan pada sesuatu masa dan boleh memberi gambaran menyeluruh mengenai hujan, tambah beliau.

Prof Mastura turut mengaitkan fenomena pemanasan global yang berlaku hingga boleh mengubah keadaan cuaca kerana peningkatan suhu yang terdapat di udara akan menyebabkan ketidak seimbangan dalam cuaca, selain juga beberapa kejadian taufan yang berlaku di Kedah tahun lalu.

Langkah persediaan awal oleh orang ramai serta pihak berkuasa haruslah dipertingkatkan untuk menghadapi bencana banjir yang tidak dapat dijangka keamatannya, tambah beliau.

ukmnewsportal-bm