Bantuan Bencana Banjir Kepada Dua Sekolah Yang Menyumbang Kepada Penubuhan UKM

Flood Relief Aid To Two Schools That Donated To UKM’s Formation1Oleh Abd Raai Osman
Foto Abd Raai Osman

TUMPAT, KELANTAN, 1 Januari 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini telah menyampaikan sumbangan banjir kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat dan Sekolah Kebangsaan Tumpat dalam majlis ringkas tetapi amat menyentuh perasaan di sini hari ini.

Kedua-dua sekolah itu melakar sejarah sendiri apabila pernah menderma wang ketika kempen penubuhan UKM sekitar akhir tahun 1960an dahulu.

Ketika awal penubuhan UKM, SMK Tumpat telah menderma sebanyak RM5.50 dan SK Tumpat sebanyak RM3.50 .

Bantuan itu telah disampaikan kepada Pengetua SMK Tumpat Haji Wan Ali bin Mamat, seorang graduan UKM dalam bidang Fizik Gunaan pada tahun 1983 dan Guru Besar SK Tumpat Haji Mohd Samsudin bin Yusoff.

Ia dihadiri oleh Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat, Khairuddin Mohamed, Timbalan Pendaftar UKM Haji Abd Razak Hussin dan Setiausaha kehormat Bulan Sabit Merah UKM Haji Zainuddin Daud bersama 20 orang petugas misi banjir UKM.

Petugas UKM juga telah mengunjungi rumah-rumah guru yang mengalami bencana banjir dan menyampaikan sumbangan dari tabung zakat UKM.

Abd Razak yang juga Ketua Petugas Misi Bantuan Banjir UKM berkata jumlah sumbangan kedua-dua sekolah itu mungkin kecil mengikut nilai sekarang namun ia menjadi pencetus semangat kepada pengurusan UKM ke arah memberi pendidikan yang  cemerlang.

Abd Razak berkata masyarakat Tumpat sejak itu telah dekat di hati warga UKM justeru bencana banjir telah membawa warga UKM menemui masyarakat Tumpat dalam usaha membantu mereka.

ukmnewsportal-bm