Barisan Kesatuan Mahasiswa Sesi 2022/2023 Terima Watikah


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 24 Februari 2023 – Cabaran yang terbesar bagi Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) adalah untuk melakukan yang lebih baik dalam kepimpinan terdahulu dan bukan sekadar meneruskan apa yang telah sedia ada.

Justeru, barisan KMUKM perlulah berupaya mengemukakan cadangan dan pandangan yang konstruktif, bernas, dan ideal untuk meningkatkan kecemerlangan mahasiswa keseluruhannya, kata Naib Canselor Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman ketika menyampaikan amanatnya di Majlis Penyampaian Watikah Kesatuan Mahasiswa Sesi 2022/2023.

“Majlis ini adalah satu kepercayaan dan pengiktirafan terhadap kewibawaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam menggalas tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh pengurusan universiti dan mahasiswa.

“Sebagai pemimpin pelajar, KMUKM mestilah mengamalkan prinsip kepimpinan yang boleh merancang kepimpinan sepanjang tempoh pelantikan ini.

“Kepimpinan yang disandarkan kepada keutamaan akan menatijahkan perancangan, pengurusan dan output yang berkesan,” tambahnya.

Menurutnya, gerakan pelajar mesti diberikan kebebasan dan kuasa yang bersesuaian, selain dibenarkan untuk membuka perniagaan, menguruskan kewangan persatuan dan merencana sendiri cara mereka bekerja serta memperjuangkan agenda mahasiswa.

“Dalam bidang perniagaan atau keusahawanan dalam universiti, ‘student union’ atau Kesatuan Mahasiswa wajar diberi peluang untuk melaksanakan aktiviti keusahawanan seperti perkhidmatan dobi, kedai buku, baik pulih komputer, kafe dan pelbagai lagi perniagaan yang ada di dalam kampus.

“Penglibatan dalam bidang keusahawanan ini juga secara tidak langsung boleh membuka pelbagai ruang pekerjaan sambilan kepada pelajar dan boleh dijadikan keuntungan untuk membantu sumber pembiayaan kepada aktiviti kemahasiswaan,” katanya.

Barisan Kesatuan Mahasiswa yang diketuai oleh Badrul Alif Naqiuddin Badrulzaman sebagai Presiden, telah diberi mandat selepas memenangi Pilihan Raya Kampus yang diadakan baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Naib Canselor, pegawai pengurusan tertinggi, dekan dan pengarah fakulti dan institut, serta pengetua kolej kediaman.