Bengkel Dalam Talian Jadi Medan Ilmu Kesedaran Ancaman Jenayah Siber Terhadap Wanita
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 8 Julai 2021 – Bengkel Wanita Malaysia Revolusi Industri (IR4.0) Bebas Jenayah Siber menjadi medan ilmu dalam memberi kesedaran tentang ancaman bahaya jenayah siber, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Beliau berkata bengkel itu turut memberi ilmu dan kemahiran kepada para wanita yang menyeluruh tentang kesedaran dan tindakan tentang bagaimana untuk membendung masalah jenayah siber yang semakin ketara, sentiasa berwaspada dengan modus operandi penjenayah siber terkini, seterusnya mengurangkan kerugian dan statistik jenayah siber negara.
“Media kini sering melaporkan wanita sama ada yang berkerjaya, berpencen mahupun suri rumah kerap menjadi mangsa jenayah siber.
“Ini kerana jenayah siber menjadi ancaman paling serius serta amat membimbangkan seperti scammer, kecurian maklumat, pengintipan, penipuan termasuk cinta alam maya yang penuh dengan janji palsu membuatkan ramai wanita terperangkap dan sanggup berhabisan puluhan ribu ringgit,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Program Bengkel Wanita Malaysia Revolusi Industri (IR4.0) Bebas Jenayah Siber yang diadakan secara maya melalup platform Zoom.
Beliau berkata bengkel seperti yang diadakan hari ini amatlah penting untuk para wanita bagi melengkapkan diri masing-masing agar mengenal persekitaran dunia siber, tidak mudah terpedaya dengan segala muslihat dan tipu daya di dalamnya, seterusnya menjadikan wanita sentiasa bersedia dan bijak dalam mendepani dan menangani cabaran yang mendatang.
“Semestinya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat komited dalam melaksanakan sebarang bentuk advokasi dalam memastikan kesedaran dan keselamatan wanita dari terdedah jenayah siber menerusi kolaborasi program-program sebegini.
“Kehormatan dan keselamatan seseorang wanita itu bukan sahaja diangkat dalam dunia nyata yang realiti, malah kita pastikan ia tetap terpelihara di alam maya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim berkata kebergantungan kepada teknologi dan internet meningkat dengan ketara, malah evolusi teknologi menyebabkan ancaman dan serangan siber turut melalui kitaran dinamik.
“Dalam suasana norma baharu akibat pandemik COVID-19, segalanya dibuat menerusi dalam talian. Ia mendedahkan masyarakat kepada pelbagai ancaman dan serangan siber yang semakin kompleks,” ujarnya.
Katanya, disebabkan tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan.
“Bermacam-macam maklumat sama ada benar atau salah, idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet.
“Jaid, saya berharap program sebegini dapat memberi pendedahan serta kesedaran umum berkaitan jenayah siber dan seterusnya dapat membanteras penularan jenayah yang semakin meruncing ini,” katanya.
Bengkel yang diadakan selama dua hari itu adalah hasil sinergi dengan Kementerian Pembangunan Wanita dan Pembangunan Masyarakat, International Women Muslim Union (IWMU), Pertubuhan Akademia Keselamatan Siber Malaysia (CSAM), Universiti Malaya (UM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Cyber Security Malaysia (CSM) dan IEEE Women in Engineering (WIE).