Berjauhan dengan Keluarga Sejak Umur 13 Tahun Jadi Pembakar Semangat untuk Terus Berjaya


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Oktober 2022 – Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga sejak berumur 13 tahun, Nimexsionre Sulani, 17, tidak menjadikan perkara itu sebagai batu penghalang untuk terus melakar kejayaan.

Lahir dalam keluarga B40, menjadikan dia terus bersemangat untuk menuntut ilmu bagi membantu mengubah hidup keluarga.

“Bapa saya seorang pemandu pelancong di Sabah, manakala mak pula tidak bekerja. Apabila mendapat tawaran untuk belajar di Kolej GENIUS@Pintar Negara, UKM ini, saya tidak melepaskan peluang kerana yakin dengan segala kemudahan dan sistem pengajaran dan pembelajaran di sini,” katanya selapas Majlis Graduasi Ke-11 Kolej GENIUS@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.

Anak sulung daripada tiga orang adik beradik itu berkata, pada mulanya kedua ibu bapanya agak keberatan untuk melepaskannya belajar di seberang Laut China Selatan, tetapi selepas meyakinkan seluruh ahli keluarganya, mereka mengizinkan dia untuk belajar di kolej tersebut.

“Bukan senang untuk diterima belajar di sini kerana persaingannya terlalu sengit. Semua yang diterima masuk ke sini mempunyai latar belakang akademik yang sangat cemerlang. Jadi, saya perlu berusaha bersungguh-sungguh agar dapat bersaing dengan mereka,” katanya.

Selain cemerlang dalam bidang akademik, anak kepada pasangan Sulani Saibun dan Lusinah Gambud turut terlibat aktif dengan pertandingan-pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antaranya, dia telah menyertai pertandingan World Scholars Cup Bangkok Global Round 2022 di Thailand, Best Position Paper dalam UiTM Model United Nation, Best Invention Award dan Special International Award dalam Invention Innovation Competition di Kanada serta mendapat Pingat Emas dalam International Future Scientist Conference 2022.

Memasang cita-cita menjadi pemimpin untuk memajukan anak-anak Sabah, beliau telah menjadi perwakilan termuda dalam Persidangan D.U.N Belia Sabah yang mewakili Kawasan Kundasang.

“Semasa belajar di sini, saya juga turut menyertai beberapa forum dan menjadi ahli panel forum anjuran Kementerian Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar negeri Sabah serta forum pendidikan anjuran Wisdom Foundation,” katanya.

Selain itu, kepimpinan beliau juga terserlah apabila pasukan pimpinannya telah berjaya mendapat Naib Juara dalam pertandingan Demokrasi Lab anjuran UNDI18.

Nimexsionre yang telah memohon untuk melanjutkan pengajian di London School of Economics and Political Science, United Kingdom juga turut menerima Anugerah Kepimpinan Kategori Pelajar Lelaki pada majlis graduasi tersebut.

Majlis Graduasi Ke-11 Kolej GENIUS@Pintar Negara diadakan bagi meraikan seramai 103 pelajar Tahap 2 Kolej GENIUS@Pintar Negara UKM sesi akademik 2022/2023 telah menamatkan pengajian GENIUSpintar High School Diploma (HSD).

Daripada jumlah itu, 52 orang pelajar menerima Anugerah Pengarah manakala sembilan orang pelajar menerima Anugerah Khas dan Anugerah Tertinggi. Anugerah-anugerah ini diberikan berdasarkan kecemerlangan yang telah ditonjolkan oleh pelajar di peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis graduasi tersebut dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim. Hadir sama Pengarah Kolej GENIUS@Pintar Negara UKM, Prof. Madya Dr. Rorlinda Yusof.

Majlis Graduasi Ke-11 Kolej GENIUS@Pintar Negara UKM ini memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar yang telah mencapai kecemerlangan dalam aspek akademik, kokurikulum, sahsiah terpuji dan kreativiti sepanjang berada di kolej ini. Majlis ini juga adalah bagi menghargai jasa dan sumbangan para pelajar sepanjang mengikuti pengajian di kolej ini.