Berkahwin Usia Muda Bukan Penghalang Genggam Anugerah Naib Canselor


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 2 November 2019 – Bekahwin pada usia muda tidak menjadi penghalang untuk mencapai kejayaan dengan merangkul Anugerah Naib Canselor pada Majilis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia ke-47.

Muhammad Alif Fitri Abdul Halim, yang menamatkan zaman bujang pada usia 21 tahun menjadikan perkahwinan sebagai pembakar semangat untuk berjaya dalam pelajaran.

“Apabila kita berkahwin di usia yang muda, dan masing-masing (suami isteri) masih belajar, sudah tentu banyak cabaran dan rintangannya. Bukan mudah untuk membahagikan masa antara pelajaran, berpersatuan, suami, bapa dan anak dalam satu masa.

“Tetapi itu semua bukanlah alasan kepada saya untuk tidak aktif di universiti. Saya dan isteri masing-masing tinggal di kolej kediaman (isteri di Universiti Sains Islam Malaysai). Kami hanya berjumpa pada hujung minggu sahaja, itupun bukan selalu kerana saya sibuk berpersatuan di luar,” kata Alif Fitri yang aktif dengan aktiviti kesukarelawan terutama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Yayasan Amar Al Fateh.

Walau bagaimanapun, katanya, tanggungjawab terhadap keluarga tidak diabaikannya.

“Walau sesibuk manapun, saya tetap akan mengutamakan isteri dan kedua ibu bapa saya kerana merekalah pembakar semangat sehinggalah saya berjaya dan mencapai apa diimpikan.

“Ibu dan bapa saya iaitu Abdul Halim Abdullah dan Siti Hajar Nawawi telah banyak membantu dari segi kewangan sepanjang pengajian saya disini dan juga penyelia saya, Prof. Madya Dr. Erni Aziati yang banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada saya. Tidak lupa juga kepada isteri saya, Norhaslina Abdul Ghani kerana setia disisi saya dan sanggup menerima keadaan saya dari dulu hingga sekarang. Merekalah tulang belakang saya,” katanya.

Katanya, dengan perancangan yang betul, beliau berjaya menangani cabaran-cabaran tersebut.

Bapa kepada seorang bayi comel itu terlibat aktif dalam bidang kepimpinan dan menggalas beberapa jawatan penting dalam persatuan pelajar dan turut aktif dalam aktiviti kesukarelawan di luar kampus.

“Saya yakin, disinilah (UKM) tempat saya untuk mengembangkan potensi dan minat saya,” katanya.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak telah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Pengajian Arab dan Tamadun Islam) dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan 3.78.