Biasiswa RM2 Juta Untuk Pelajar Kurang Berada di UKM

2
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 23 September 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan  menerima pembiayaan sebanyak RM2 juta bagi tempoh 5 tahun dari syarikat SKG Group (SKG) sebagai bantuan untuk para mahasiswa terpilih dari keluarga berpendapatan rendah.

Biasiswa tersebut akan dijangka memberi faedah kepada 100 pelajar prasiswazah setahun atau rata-rata RM4,000 seorang.

Memorandum Perjanjian (MoA) ditandatangani oleh Naib Canselor  Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali bagi UKM dan Presiden SKG Group  Dr Lee Siew Keong di sini hari ini yang disaksikan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah serta Pengarah Pembangunan Perniagaan SKG Jerry Lau.

Selain pembiayaan tersebut, SKG juga berjanji memberi sumbangan infrastruktur kepada kampus UKM di Bangi dalam bentuk bilik perbincangan (discussion room) dan perhentian bas.

Ketika bercakap dalam sidang akhbar selepas upcara tandatangan, Dr Lee berkata biasiswa yang bakal diberi tertakluk kepada keadaan kewangan pemohon dan terbuka kepada semua kaum.

Pada tempoh jangka panjang SKG, yang merupakan kumpuan syarikat-syarikat pengeluar dan pengedar barangan kesihatan, bercadang membiayai penyelidikan kesihatan di UKM.

Kata Dr Lee, UKM dipilih kerana universiti tersebut banyak membantu dalam penyelidikan produk-produk SKG dan ujian DNA serta cerakinan bahan-bahan lain.

“UKM ada kepakaran saintifik untuk buat pensijilan Halal dan boleh buat ujian ‘Porcine’ untuk menentukan sama ada sesuatu bahan itu mengandungi bahan khinzir.

“Saya boleh menjamin produk-produk kami semua Halal. Terima kasih kepada UKM,” ujar beliau.

Selain sumbangan biasiswa dan infrastruktur, SKG juga ada rancangan untuk mengubahsuai dewan di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) UKM.

Namun, kos dan perancangan belum ditentukan lagi.

Prof Noor Azlan, pula menerangkan bahawa kerjasama antara UKM dan SKG dapat dibangunkankan bukan sahaja dalam negara, malahan di peringkat antarabangsa.

“Mereka (SKG) ada hubungan dengan para penyelidik di Jepun yang kami dapat berjumpa. Walaupun SKG adalah entitii perniagaan, ia juga ada kaitan dengan penyelidikan.

“Kita melakukan penyelidikan, tetapi kita juga perlu membimbing pelajar-pelajar kita supaya berinteraksi dengan pihak lain dan membangunkan rangkaian,” kata Naib Canselor.

Turut hadir di upacara tersebut Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Prof Dr  Sahrim Hj Ahmad dan Prof Madya Datuk Dr Rokiah Omar dari Fakulti Sains Kesihatan, antara lain.ukmnewsportal-bm
3

5

4

6