Bidang Perubatan dan Kesihatan akan Terus Berkembang – Dr Joshi


Oleh Nadia Sapuan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 31 Mac 2017 – Masa hadapan dalam bidang perubatan dan kesihatan akan mengalami perubahan yang besar dan terus berkembang sekaligus jauh berbeza daripada hari ini.

Pengarah Urusan Novartis Malaysia dan Brunei, Dr Joshi Venugopal berkata perubahan tersebut disebabkan oleh kemajuan teknologi dan perubahan data manusia pada masa ini.

Katanya kecanggihan teknologi pada masa hadapan seperti ‘wearables/ real time monitoring’ akan memudahkan pesakit untuk mengenal pasti simptom dan tanda-tanda awal sebarang penyakit.

“Kemungkinan besar pada masa hadapan anda tidak perlu lagi beratur menunggu doktor di hospital  sebaliknya anda  hanya menghubungi doktor dan dapat dirawat dari jauh.

“Ini adalah antara kelebihan teknologi dalam bidang perubatan,” katanya.

Tambah beliau, walaupun teknologi banyak memberi sumbangan, namun ia juga boleh mendatangkan keburukan kepada penggunanya kerana dunia sekarang adalah dunia tanpa sempadan dan tiada privasi.

Dalam syarahan bertajuk Health: Past, Present and Future, beliau turut memberi nasihat kepada pelajar yang hadir untuk sentiasa bercita-cita tinggi dan berfikiran kritis kerana itu merupakan salah satu kualiti utama seorang mahasiswa.

Seramai tujuh pelajar daripada Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpeluang membuat sesi soal jawab secara lebih dekat bersama Dr Joshi Venugopal.

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah dan Dekan Fakulti Farmasi, Prof  Madya Dr Jamia Azdina Jamal.