Bijak Mengurus Masa Jadi Kunci Kejayaan Penerima Anugerah Naib Canselor


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 5 Disember 2021 – Penerima Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke-49 Nur Asyiqin Zohkarnain berkata, amalan menguruskan masa dengan bijak menjadi resepi kejayaannya.

Beliau berkata pengurusan masa yang baik dapat memastikan perjalanan kehidupan seharian yang seimbang dan memupuk disiplin diri yang tinggi.

“Jika kita mempunyai pengurusan masa yang berkesan, banyak perkara yang mampu kita capai termasuklah melakukan aktiviti yang sihat untuk rohani dan jasmani.

“Ketika belajar secara dalam talian, saya mendapati agak susah untuk saya membahagikan masa kerana saya menggalas pelbagai tanggungjawab dirumah. Selain pelajar, saya juga memainkan peranan sebagai seorang anak yang harus membantu kedua ibubapa saya membuat kerja rumah.

“Jadi saya telah membuat jadual dan perancangan yang sistematik supaya semua tugas dapat disempurnakan dengan teratur,” katanya.

Anak sulung dari empat orang adik beradik itu juga menekankan rasa hormat kepada ibu bapa dan pensyarah supaya mendapat keberkatan didalam setiap perkara yang dilakukan.

Nur Asyiqin merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian (pengajian Arab dan Tamadun Islam), Fakulti Pengajian Islam (FPI).

Kecemerlangan anak kelahiran Umbai Melaka ini terserlah apabila berjaya memperoleh Anugerah Dekan selama enam semester berturut-turut dan menerima Anugerah Tokoh Akademik FPI.

Artikel beliau yang bertajuk “Persepsi Sayyid Qutb terhadap paderi di Amerika Syarikat allati ra’aytuhu” telah berjaya diterbitkan dalam jurnal terindeks ESCI-WoS iaitu Jurnal Islamiyyat tahun ini.

Selain cemerlang dalam akademik, Nur Asyiqin turut aktif dalam sukan dan berjaya mendapat Naib Johan Bola Tampar dalam Kejohanan Piala Dekan FPI pada tahun 2020.

Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Arab dan Tamadun Islam di FPI dengan tajaan Biasiswa Zakat UKM.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Thenesh Anbalagan berjaya menerima Anugerah Tun Abdul Razak diatas kecemerlangan akademik yang konsisten.

Kejayaan yang dicapai oleh anak jati Muar, Johor ini adalah sebuah landasan penuh dengan liku, ranjau dan onak duri dimana pada tahun 2015, bapanya meninggal dunia beberapa jam sebelum dia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Setelah melihat kesusahan ibunya menguruskan dokumentasi mendiang ayahnya, Thenesh mula menanam minat untuk menyambng belajar didalam bidang undang-undang.

Menurut beliau terdapat tiga perkara penting yang perlu ada dalam diri seseorang yang berkehendakkan kejayaan.

“Pertama, untuk mencapai kejayaan, perlu ada kerja keras, dedikasi dan kegigihan. Apabila kita berusaha dan tidak mencapai seperti apa yang kita inginkan, jangan putus asa kerana pengalaman tersebut akan membuahkan sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan.

“Kedua, kita boleh belajar daripada apa sahaja daripada sesiapa sahaja. Justeru, selain membaca dan berbincang dengan pensyarah dan rakan sebaya, saya juga meluangkan masa bercakap dengan petugas kebersihan, kakitangan sokongan, pustakawan dan ahli fakulti lain.

“Ketiganya kita perlu menghargai peluang dalam kehidupan ini. Gred yang cemerlang menunjukkan betapa gigihnya usaha kita. Kehidupan, bagaimanapun, tidak hanya berkisar pada gred dan pujian. Kehidupan adalah gabungan kenangan indah dan pengembaraan mencari pengalaman baru,” katanya.

Thenesh juga telah mengharumkan nama UKM di persada antarabangsa apabila diumumkan sebagai pelajar UKM pertama yang mendapat anugerah Top 100 Best Individual Oralist of the Preliminary Rounds Award dengan menjadi mooter ke-49 terbaik di seluruh dunia semasa Philip C. Jessup International Law Moot Court Competition 2021.

Pada tahun 2019, Thenesh telah berjaya bergelar ‘Tunku Scholar’ kerana telah menerima Biasiswa Tunku Abdul Rahman iaitu sebuah biasiswa berprestij oleh Yayasan Tunku Abdul Rahman.