Bilangan Mualaf Di Malaysia Lebih Ramai Daripada Catatan Rasmi
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 25 Mei 2015 – Bilangan Mualaf atau Saudara Baru di Malaysia sebenarnya lebih besar daripada perangkaan rasmi Jabatan Agama Islam.
Hasil penyelidikan oleh Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan (JPDK), Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati ramai mualaf tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam kerana beberapa sebab, kata Ketua Jabatan JPDK, Prof Madya Dr Razaleigh Muhamad@Kawangit.
Beliau memberitahu hasil kajian tersebut pada majlis Bicara Dakwah Kali Ke-16 dan Pelancaran Buku Dakwah Mualaf 2014/2015 di sini pada 21 Mei lalu.
UKM melalui Fakulti Pengajian Islam telah menerbitkan 17 buah buku berkenaan dengan pengurusan dan bimbingan mualaf di Malaysia, yang menerangkan secara terperinci hasil penyelidikan mereka.
Dr Razaleigh berkata penerbitan buku-buku tersebut adalah selaras dengan hasrat universiti untuk melonjak penerbitan UKM bagi tahun 2015.
Katanya sepanjang dua tahun membuat penyelidikan tentang saudara baru, terdapat cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi oleh para penyelidik.
“Buku ini diterbitkan dalam bentuk kerja lapangan. Jadi kami (para penyelidik) perlu ke lapangan untuk mencari maklumat dan bertanyakan tentang soal selidik. Cabaran terbesar yang kami hadapi adalah untuk menghasilkan data-data terkini berkaitan dengan mualaf dari seluruh Malaysia kerana ia adalah agak sukar.
“Hal ini kerana terdapat mualaf yang tidak mendaftar diri mereka dengan Jabatan Agama Islam atas faktor-faktor tertentu seperti keselamatan, kekeluargaan, ekonomi dan lain. Jadi, kita dapati peratusan mualaf di Malaysia adalah rendah, kerana itu yang tercatat dalam statistik, tetapi hakikatnya dan realitinya golongan ini (mualaf) lebih besar dari statistik yang ada kerana mereka tidak mendaftar dengan Jabatan Agama Islam,” katanya.
Beliau berkata apabila golongan mualaf ini tidak mengisytiharkan pengislaman mereka, ia menjadi masalah dan cabaran kepada Jabatan Agama Islam apabila golongan tersebut meninggal dunia atau bercerai.
“Dalam buku ini ada diceritakan tentang proses pemelukan Islam. Mereka boleh dapatkan buku ini sebagai rujukan,” katanya.
Dr Razaleigh berkata buku-buku tersebut diterbitkan hasil penyelidikan daripada pensyarah-pensyarah di JPDK dan dibantu oleh pelajar-pelajar Doktor Falsafah (PhD) dan juga pelajar Sarjana yang mempunyai kepakaran dalam bidang mualaf.
“100 peratus penulisan dalam buku ini adalah hasil penyelidikan yang dibuat oleh para pensyarah dua tahun lepas. Masih ada lagi buku-buku lain yang masih dalam penyelidikan. Bila siap penyelidikan yang dibuat, kita akan terbitkan buku untuk dijadikan rujukan kepada orang ramai,” katanya
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal.
Beliau berkata buku tersebut diterbitkan bagi menyelesaikan masalah atau isu berkaitan mualaf sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa.
“Walaupun buku itu dikarang dalam Bahasa Melayu, tetapi sekurang-kurangnya dari sudut akademik buku ini mempunyai nilai nasional,” katanya.
Menurut beliau penerbitan buku-buku itu juga memberi impak kepada pihak-pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam, Badan-badan Bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan mualaf seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk dijadikan rujukan dalam menyebarkan dakwah kepada saudara baru.
“Selain itu, buku ini juga bertujuan untuk membantu da’i (pendakwah) supaya mereka mempunyai garis panduan dalam menyampaikan dakwah kepada saudara baru. Sama ada panduan itu dalam bentuk umum ataupun dalam bentuk khusus, kerana terdapat tiga buku yang menceritakan tentang modul dan bimbingan kepada saudara baru yang terhasil daripada penyelidikan yang dijalankan oleh saya sendiri,” katanya.
Katanya orang ramai boleh mendapatkan buku-buku tersebut di kedai-kedai buku terpilih dengan harga antara RM25 hingga RM30 selepas pelancaran di buat di peringkat universiti sempena sambutan 45 tahun UKM.
“Untuk permulaan, buku-buku ini dijual di pejabat JPDK. Jadi sesiapa yang nak membaca buku ini boleh dapatkannya. Buku-buku ini juga turut terdapat di perpustakaan UKM dan juga Universiti Malaya,” tambah beliau.