Buku Sains Sosial Malaysia: Meneruskan Tradisi Menggapai Transformasi Masyarakat Merusmuskan Perkembangan Negara


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 24 Januari 2022 – Buku Sains Sosial Malaysia: Meneruskan Tradisi Menggapai Transformasi Masyarakat yang ditulis oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong telah merumuskan tentang perkembangan negara sejak dua tahun lepas.

Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) (1996-2002), Profesor Emeritus Dr Jomo Kwame Sundaram yang mengulas buku tersebut berkata buku itu membincangkan isu antarabangsa dengan tema yang cukup mendalam seperti Perjanjian Pangkor.

“Bagi saya buku ini adalah buku penting dalam merumuskan beberapa perkembangan negara dalam tempoh dua tahun lepas yang turut diselitkan dengan tokoh-tokoh negara yang telah meninggal dunia seperti Engku Aziz,” katanya semasa mengulas buku tersebut di majlis Pelancaran Buku Sains Sosial Malaysia: Meneruskan Tradisi Menanggapi Trasformasi Masyarakat, anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain itu, katanya buku tersebut juga turut mengetengahkan beberapa perkara yang menyentuh perbahasan dalam masyarakat Malaysia.

Sementara itu, Pengarah IKMAS, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata penerbitan buku tersebut menjadi cabaran kepada penyelidik muda IKMAS kerana penyelidik senior seperti Dato’ Dr. Abdul Rahman masih aktif berkarya walaupun dengan menghasilkan pelbagai jenis penerbitan.

“Ini bukan sahaja cabaran kepada penyelidik muda di IKMAS, tetapi juga menjadi cabaran kepada seluruh penyelidik muda di UKM,” katanya.

Beliau mengajak semua warga UKM supaya membaca buku tersebut kerana melalui pembacaan itu, pembaca akan dapat memahami apa yang tersurat dan tersirat dalam karya Dato’ Dr Abdul Rahman.

“Saya lemparkan cabaran kepada penyelidik-penyelidik muda untuk mengkaji buku ini dan menghasilkan lebih banyak buku-buku sains sosial dan cuba atasi penerbitan buku sains dan teknologi,” katanya.

Selepas majlis pelancaran itu, turut diadakan Sesi Bicara Buku yang membariskan ahli panel seperti Felo Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Abdul Halim Ali; Penyelenggara Buku Pengarang, Muhammad Rahimi Hasan; Pensyarah KDU-UOW, Syahida Johan, Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga ahli PSSM, Dr Low Kah Choon dan Bendahari Naratif Malaysia, Fatimah Tajuddin sebagai moderator.