Cabaran Memartabatkan Bahasa Kebangsaan


Oleh Izzul Aniq
Foto oleh Izwan Azman dan Ikhwan Hashim

BANGI, 1 Ogos 2018 – Bahasa Melayu bukan bahasa sesebuah bangsa, tetapi ianya Bahasa Kebangsaan kepada negara Malaysia, kata Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Profesor Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) ini berkata, isu sebegitu tidak seharusnya wujud lagi pada era ini.

Ini adalah kerana Bahasa Melayu sudah pun dimartabatkan kedudukannya melalui perlembagaan Malaysia.  Bagaimanapun terdapat masalah yang wujud dalam kepimpinan dan masyarakat kini, katanya.

Beliau berkata, budaya untuk terus memartabatkan Bahasa Melayu tidak dipraktikkan sepenuhnya dan ini telah mengancam kedudukan bahasa ini.

Menurut beliau, pengaruh media luar dalam membentuk perspektif Bahasa Melayu dalam kalangan golongan muda juga bagai menuangkan minyak tanah ke dalam api.

Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan menjelaskan, kewujudan isu tersebut adalah kerana masyarakat Malaysia yang mempunyai perspektif negatif terhadap Bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa berkelas rendah dalam kelas sosial masyarakat dan ini menyebabkan mereka lebih berminat untuk berkomunikasi dalam bahasa lain selain Bahasa Melayu.

“Penerusan kewujudan Bahasa Melayu bukan sahaja terletak pada para pemimpin, malah masyarakat juga memikul tanggungjawab dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan ini,” katanya.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM, Prof. Dato’ Ir Dr Wan Ramli Wan Daud menjelaskan, masyarakat juga harus memberi kepercayaan kepada pemimpin untuk terus memperjuangkan isu berkaitan memartabatkan Bahasa Melayu.

Forum Bicara Persada yang bertajuk Pasca PRU14: Benarkah Pemartabatan Bahasa Kebangsaan Masih Belum Terungkai? turut membariskan Nazri Kahar sebagai moderator.