Cabaran Pemuda Belia Zaman Sekarang Sangat Berat – Dr. H. Abdul Somad


Oleh Mohamad Arif Haziq Mohamad Musri
Foto Ikhwan Hasim

BANGI, 4 Februari 2020 – “Kalaulah umur saya mundur ke belakang, disuruh menjadi penuntut ilmu di Universiti Al-Azhar semula, saya tak sanggup sebab begitu berat cabaran pemuda zaman sekarang,” kata Dr H Abdul Somad Batubara ketika menyampaikan syarahan pada Bicara Persada ke-57 bertajuk Kesatuan Ummah:  Cabaran dan Harapan di Persada Canselori, Bangunan Pentadbiran.

Ketika ditanya mengenai kekuatan yang perlu ada dalam diri remaja dalam menghadapi fitnah akhir zaman, beliau berkata, tiada jalan lain untuk mengelakkan fitnah selain menanam akidah dan keyakinan yang kuat bahawa setiap tingkah laku, walaupun tidak diperhatikan oleh orang lain, sentiasa diperhatikan oleh Allah S.W.T.

Beliau juga mengulas bahawa ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak sejak dari kecil melalui amalan seperti solat sunat dan sebagainya agar diri sentiasa suci dan dijaga malaikat.

Beliau menegaskan bahawa akidah yang kuat akan mejadi tali yang mengikat kepercayaan tauhid dengan kuat.

Katanya, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) sentiasa meningkatkan usaha dalam menguatkan akidah melalui para pensyarah yang mendidik pelajar untuk menepis segala akidah yang sesat.

Dalam syarahan tersebut, Dr. H. Abdul Somad turut bercerita tentang bagaimana umat Islam pada zaman dahulu yang berbeza mazhab, tetapi masih boleh menghormati sesama mereka walaupun berbeza pendapat.

“Saya percaya Kesatuan Ummah seperti tajuk bicara ini boleh dicapai sekiranya umat Islam dicerdaskan oleh para ulama yang benar-benar memahami fiqh menerusi ajaran mereka,” katanya.

Bicara Persada itu dipengerusikan oleh Prof Madya Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Dr. H. Abdul Somad yang berasal dari Asahan, Sumatera Utara, Indonesia adalah seorang Professor Pelawat di Universiti Sultan Ali, Brunei. Beliau pernah mendapat anugerah Tokoh Daie Nusantara dari Negeri Kelantan pada tahun 2019, dan pada tahun 2018, beliau telah menerima anugerah Datuk Seri Ulama Negara dari Lembaga Adat Melayu Riau-Sumatera Indonesia.