Cadangan Warga UKM Guna Basikal Dalam Kampus Bagi Kurangkan Pemanasan Global

05062015_FunRide_01N
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 2 Jun 2015 – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat mencadangkan agar semua pelajar dan staf Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggunakan basikal di dalam kampus bagi membantu mengurangkan Pemanasan Global.

Prof Dr Riza Atiq berkata penggunaan kenderaan bermotor yang semakin berleluasa akan mengakibatkan tahap karbon dioksida dan suhu meningkat dan cuaca juga akan berubah.

“Saya seorang transport engineer. Jadi jika 24,000 pelajar dan 2,000 pensyarah UKM menggunakan motosikal atau kereta, saya anggarkan sekurang-kurangnya 5 tan karbon dioksida dikeluarkan dalam satu hari.

“Itu belum lagi memanaskan enjin kenderaan sebelum bergerak yang akan menyebabkan pemanasan cuaca. Sekarang ini pun kita dah rasa panas. Inilah salah satu sebab kenapa cuaca kita semakin panas,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada program UKM Mountain Bike Challenge 2 & Fun Ride 2015 di sini pada 31 Mei lepas.

Beliau berkata selain membantu dalam mengurangkan pemanasan global, berbasikal juga dapat meningkatkan tahap kesihatan tubuh badan.

“Jadi saya nak cadangkan agar UKM menubuhkan kelab berbasikal supaya lebih ramai staf dan pelajar menggunakan basikal di kampus,” ujar beliau.

Program UKM Mountain Bike Challenge 2 & Fun Ride 2015 yang dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan telah menghimpunkan lebih dari 250 penyertaan termasuk dari masyarakat setempat.

Program ini adalah salah satu program yang diwajibkan dilakukan oleh pelajar bagi melengkapkan kursus pembelajaran dari fakulti pendidikan.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka sejauh 34 kilometer (km), Wanita Terbuka (22km), Junior Lelaki (28km), Junior Veterans (22km),  Senior Veterans (16km) dan Fun Ride (15km).

Sementara itu, pemenang tempat pertama bagi kategori Lelaki Terbuka, Zaenal Fanani, 29, dari Indonesia, berkata penyertaannya dalam program itu hanya suka-suka.

“Saya dapat tahu tentang pertandingan ini melalui kawan yang tinggal di sini dan datang ke sini pada Khamis lepas (28 Mei) bersama dua lagi kawan semata-mata mahu menyertai pertandingan ini. Ini adalah acara kegemaran saya dan saya sering menyertainya di Indonesia.

“Saya harap saya dapat lagi peluang untuk datang ke Malaysia dan menyertai acara berbasikal yang lain pula,” katanya.

Beliau yang berasal dari Surabaya membawa pulang wang tunai RM500, pingat  dan sijil.

05062015_FunRide_02N