CEO@Faculty Kongsi Pengalaman Bersama Warga UKM
Oleh Sabariah Mohamed Salleh
Gambar oleh Muhammad Izwan Azman
BANGI, 17 Disember 2016 – Setiap pekerjaan akan memberikan seseorang suatu pengalaman yang amat berharga.
Demikian nasihat Leonard Ariff Abdul Shatar, Pengarah Urusan Kumpulan Chemical Company of Malaysia (CCM) kepada pelajar UKM yang bakal melangkahkan kaki ke alam pekerjaan, semasa sesi syarahan sempena program CEO@Faculty di UKM, baru-baru ini.
“Ramai rakan-rakan saya yang tamat pengajian pada tahun 1988 mengalami kesukaran mencari pekerjaan.
“Oleh sebab itu, lebih kurang 15 peratus daripada rakan saya pada waktu tersebut telah menjual burger di warung-warung kecil, sebagai sumber pendapatan.
“Namun, kini, lima peratus daripada mereka adalah peneraju syarikat tersenarai awam di Malaysia,” kata Leonard seraya menambah yang titik permulaan dunia pekerjaan tidak semestinya mencerminkan masa depan seseorang.
Jelas beliau, mahasiswa patut merebut sebarang peluang kerja, meskipun ia tidak sesuai dengan bidang yang dipelajari di universiti kerana ia akan memberikan pengalaman berharga.
“Rebut peluang tersebut dan ambil peluang untuk meningkatkan kemahiran di samping mempelajari sesuatu yang baru,” nasihat beliau.
Program CEO@Faculty adalah suatu inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Ia bertujuan untuk melantik CEO daripada syarikat terkemuka untuk menjadi mentor kepada universiti di Malaysia serta berkongsi pengalaman dan masa bersama para akademik dan terutamanya pelajar.
Majlis tersebut turut menyaksikan penandatanganan MoU di antara UKM dan CCM.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Jaringan Indsutri dan Masyarakat Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah dan Dekan Fakulti Farmasi Prof. Madya Dr. Jamia Azdina Jamal.