CYAL 2019 Ketengah Isu Kelestarian Sumber Asli


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 23 Septermber 2019 – CIMB Young ASEAN Leaders (CYAL) 2019 yang disertai oleh 50 belia dari 10 negara ASEAN telah diketengahkan dengan isu-isu kelestarian sumber asli dan perubahan iklim di negara ASEAN.

Dengan tema Sustainable Indigenous Resources for Renewable Energy, para peserta dilatih menjadi pemimpin generasi akan datang dengan mengetengahkan isu-isu berkaitan perubahan iklim dan bertanggungjawab dalam mewujudkan masa depan yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Dato’ Hamidah Naziadin berkata, beliau percaya dalam memastikan komuniti ASEAN yang berjaya, setiap belia mesti dilengkapi dengan mentaliti yang betul dan kemahiran yang tepat untuk membuat perubahan masa depan bagi negara mereka dan untuk ASEAN. “Bagi membuat demikian, mereka mestilah boleh bekerjasama dan berkongsi pengetahuan dan sumber untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat ASEAN secara menyeluruh,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian CYAL 2019 di Puri Pujangga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, tujuan utama program tersebut adalah untuk memupuk pemimpin belia dalam menjadi penggerak kepada pembangunan negara.

“Program ini akan memberikan pemahaman kepada pemimpin belia cara penggunaan tenaga solar, angin dan biogas untuk penyediaan keperluan tenaga asas bagi masyarakat.

“Pemimpin belia akan dilengkapi dengan pengetahuan dan idea mengenai sumber tenaga alternatif dari pelbagai sumber asli yang boleh diperbaharui,” katanya.

Seorang peserta dari Vietnam, Phuong berkata, beliau menyertai program itu adalah untuk memperluaskan pengetahuan berkaitan sumber asli dan berkongsi idea dengan pelajar ASEAN yang lain bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Manakala, pelajar dari Malaysia, Alfred Ngu pula mengharapkan penyertaannya dalam program tersebut akan dapat mengasah bakat kepimpinan yang ada serta dapat belajar dengan lebih mendalam tentang budaya dari setiap negara ASEAN.

Seramai 1,088 penyertaan telah diterima oleh pihak Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UKM dari seluruh negara ASEAN, tetapi hanya 50 penyertaan sahaja yang berjaya menyertai CYAL 2019 yang berlangsung pada 23 hingga 27 September 2019.