Dana Endowmen Ekonomi Halal Perkasa Ekonomi Halal Malaysia
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
PUTRAJAYA, 2 Jun 2022 – Dana Endowmen Ekonomi Halal yang ditubuhkan hasil kerjasama antara Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI) dan Hadhari Global Foundation (HGF) dengan pihak Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal memperkasakan Ekonomi Halal Malaysia.
Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata tujuan utama penubuhan dana endowmen itu adalah untuk membangunkan kepemimpinan dalam penyelidikan dan pendidikan dalam bidang ekonomi halal yang meliputi bidang Sains dan Teknologi, dan Sains Kemanusiaan.
“Saya menyambut baik penubuhan Dana Endowmen Ekonomi Halal ini dan berharap usaha ini dapat memperkasakan aktiviti akademik dan intelektual dalam bidang ekonomi halal agar Malaysia dapat menerajui agenda ekonomi halal di peringkat pengajian tinggi.
“Pada masa sama, saya ingin melihat program pembangunan modal insan dalam bidang ekonomi halal diperingkat antarabangsa juga dapat dilaksanakan.
“Pihak kementerian khususnya Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corporation (HDC) dan pihak industri diseru supaya dapat menyokong usaha murni ini,” katanya semasa menyampaikan Ucaptama sempena Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi: Ekonomi Halal Kali Ke-2 dan Majlis Pelancaran Dana Endowmen Ekonomi Halal Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM yang diadakan baru-baru ini.
Beliau berkata kerjasama dan usaha itu sejajar dengan wawasan negara untuk mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 2015-2030) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kepesatan kewangan Islam, antaranya dipacu oleh permintaan masyarakat terhadap sistem bebas riba, mempunyai unsur gharar dan masyir (spekulasi atau perjudian) selain adanya juga kawal selia dan model pengembangan sistem kewangan Islam yang tersedia di peringkat global.
“Justeru, Pelan Induk Ekonomi Halal harus diupayakan dan diusahakan oleh pemegang taruh untuk memperkasakan ekonomi halal.
“Ini dilakukan dengan meningkatkan peranannya dalam pelbagai sektor ekonomi halal dalam pembangunan negara,” katanya.
Pada masa ini, katanya, cadangan kawal selia sedia ada lebih terhad kepada sektor kewangan Islam melalui Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti manakala JAKIM pula bagi kawal selia industri halal.
“Oleh itu, kawal selia lebih komprehensif boleh disatukan misalnya melalui penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah.
“Saya menyeru saranan ini dapat diberi perhatian sewajarnya agar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai Model Rujukan Utama dalam bidang Ekonomi Halal dapat direalisasikan.
“Semoga apa yang diiltizamkan, dapat kita realisasikan bagi memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia melalui pemerkasaan dalam bidang ekonomi Halal,” katanya.