Dari Pemain Bola Sepak Profesional, Kini Bergelar Usahawan Makanan Laut
Artikel dan foto dari Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Walaupun pernah bergelar pemain bola sepak profesional yang bermain dengan pasukan PDRM FC dan UKM FC, Rijal Fikry, 27, yang merupakan alumni Universiti Kebangsaan Malaysia tidak ‘duduk saja’ sebaliknya dia terus mencari jalan untuk memajukan diri.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Dengan Kepujian (Sukan dan Rekreasi) itu bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku dalam dunia bola sepak apabila kontraknya ditamatkan oleh skuad The Cops (PDRM FC).
“Saya menerima keputusan berkenaan dengan hati terbuka kerana ia merupakan lumrah dalam karier seorang pemain bola sepak professional,” katanya yang pernah mewakili negara dalam kejohanan bola sepak di peringkat remaja.
Selepas ‘bersara’ sebagai pemain bola sepak, dia tidak membuang masa meratapi ‘hilang kerja’ malah mengorak langkah dengan memberi tumpuan kepada perniagaan makanan laut secara dalam talian dengan jenama Hero Seafood.
Beroperasi di sebuah tapak kecil di Sungai Kantan, Kajang, Rijal Fikry mula berjinak -jinak dalam dunia perniagaan sejak beberapa bulan lalu namun tidak dapat memberi tumpuan penuh disebabkan terikat dengan jadual latihan yang padat serta perlu mengikuti trip pasukan ke beberapa negeri untuk perlawanan bola sepak.
“Apabila kontrak saya bersama pasukan PDRM ditamatkan baru-baru ini, saya telah menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan.
“Selepas tiga hari beroperasi, Hero Seafood berjaya menjual hampir 1,000 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan, 500 kg udang, sotong dan ketam selain turut menjual lebih 300 ekor ayam kepada pelanggan. Bagi melancarkan operasi, kami telah mengupah lima orang pekerja,” katanya yang membangunkan perniagaan itu bersama bekas seorang lagi pemain Harimau Muda, Asri Mardzuki,
Mereka juga turut menawarkan perkhidmatan penghantaran ikan segar ke kawasan berhampiran termasuk Bangi, Ampang, Kajang, Cheras, Puchong, Seri Kembangan dan Putrajaya.
Ditanya mengenai rahsia perniagaannya mendapat sambutan memberangsangkan dalam tempoh singkat, anak muda berasal dari Sik, Kedah itu menjelaskan bahawa perniagaannya menggunakan kaedah pemasaran digital.
“Pelanggan melayari laman sosial Hero Seafood bagi membuat tempahan dan pembayaran. Pesanan akan dihantar kepada mereka dalam tempoh kurang dua jam bagi memastikan kesegaran makanan laut yang ditempah,” katanya.
Ujarnya, dia melayari laman web Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk mempelajari tips pemasaran digital menerusi Go E-Commerce.
“Saya turut melayari saluran Youtube MDEC untuk melihat success story peniaga – peniaga lain yang mendapat bimbingan MDEC untuk adaptasi pendigitalan, berjaya melonjakkan perniagaan masing -masing,” katanya.
Dia juga bersyukur kerana dapat membantu individu mendapat pekerjaan lebih – lebih lagi dalam suasana tidak menentu ketika pandemik COVID-19 terus ‘menyerang’ negara ini.
Ditanya mengenai perancangan perniagaan, Rijal Fikry memberitahu, Hero Seafood sedang dalam proses untuk menggunakan aplikasi YEZZA untuk menjual produk dan memudahkan perniagaan.
Beberapa hari lalu, syarikatnya telah melancarkan laman web iaitu https://heroseafood.my yang menawarkan beberapa pakej jualan makanan laut mengikut pilihan pelanggan.
“Saya juga telah mendaftar untuk menyertai program 100 Go Digital anjuran MDEC bagi mendigitalkan perniagaan dan mengatasi gangguan yang wujud akibat situasi semasa,” katanya.
Berbicara tentang dunia bola sepak yang diceburinya sejak di bangku sekolah rendah, Rijal Fikry yang pernah mewakili skuad Piala Presiden Kedah berkata, dia tidak ‘menggantung but’ sepenuhnya kerana masih berminat lagi untuk bermain.
“Saya masih menjaga kecergasan dengan membuat latihan larian pada setiap hari namun biarlah masa yang menentukannya.
“Selepas perniagaan stabil, saya turut menimbangkan untuk menyambung pengajian peringkat kedoktoran dalam bidang sains sukan kerana mendapat tawaran dari sebuah universiti tempatan,” katanya.