Dekad Membaca Kebangsaan Pupuk Semangat Membaca Masyarakat


Oleh Mohamad Arif Haziq Mohamad Musri
Foto Pusat komunikasi Korporat

BANGI, 13 Februari 2020- Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilaksanakan bagi memupuk semangat membaca masyarakat disamping memupuk aspirasi rakyat membaca dalam membangunkan masyarakat Malaysia yang berilmu pengetahuan.

Tun Dr Mahathir berkata, program yang julung kalinya diadakan itu memperlihatkan kesungguhan pihak Kerajaan untuk menjadikan amalan membaca satu budaya yang pastinya bertujuan untuk membentuk satu masyarakat yang berpengetahuan, berilmu dan bermaklumat.

“Budaya membaca sebagai suatu amalan adalah asas kepada pemerolehan dan pengukuhan ilmu pengetahuan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi.

Katanya lagi, cabaran yang masyarakat hadapi hari ini dalam membudayakan budaya membaca ialah pengaruh digital.

“Pengaruh digital ini menyebabkan banyak sumber bacaan tradisional seperti surat khabar dan majalah kini mula merudum,” katanya.

Namun begitu, menurut Tun Dr Mahathir, itu tidak bermaksud rakyat Malaysia berhenti membaca, sebaliknya sumber bacaan dan mediumnya berubah kepada versi digital.

“Yang membimbangkan ialah sumber pembacaan dalam arus digital itu begitu banyak tanpa sekatan sehingga ia menjadi gelanggang untuk menyebar berita palsu atau fake news dan lain-lain kandungan yang merosakkan masyarakat.

“Disinilah letaknya cabaran pembacaan hari ini… untuk membezakan yang benar dan yang palsu, yang dihasil melalui kajian dan yang dicipta secara picisan,” tambahnya lagi.

Program DMK ini merupakan usaha bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menjadikan Malaysia sebagai satu negara membaca dalam tempoh 10 tahun bermula 2021 hingga 2030.

Sementara itu, menurut Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Dr Mohd Gazali Abas, DKM tersebut dibahagikan kepada enam program iaitu kepelbagaian program membaca, pembangunan prasarana dan aktiviti membaca, pesta buku sebagai destinasi perbukuan masyarakat, pembangunan pembacaan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, capaian buku digital dan pendidikan sepanjang hayat.

Slogan #MalaysiaMembaca juga dipilih tema program tersebut selaras dengan hasrat kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara membaca dan melahirkan masyarakat ilmu bertaraf dunia.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Teoh Ni Ching dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Habibah Abdul Rahim.